"Next Level Punya Action Movie... Terbaik!" - Hisyam Hamid Puji PASKAL The Movie

Kamaruddin Razal
Oktober 10, 2018 21:34 MYT
Pelakon Hisyam Hamid berpendapat filem PASKAL The Movie setaraf dengan filem aksi antarabangsa.
Ditemui ketika majlis tayangan filem PASKAL The Movie bersama selebriti baru-baru ini, Hisyam gembira kerana filem ini menampilkan kisah 'hero sebenar' yang patut disanjung oleh rakyat.
"Selepas menonton filem ini, saya rasa teruja kerana ia setaraf dengan filem antarabangsa. Setiap aksi dan adegan yang ditampilkan sangat mendebarkan serta kesan imej janaan komputer (CGI) juga tidak menghampakan.
"Saya juga gembira kerana filem ini menampilkan kisah wira negara yang seharusnya diangkat menjadi 'hero sebenar'. Pendek kata, filem ini 'next level' punya 'action movie'. Terbaik!" kata Hisyam.
Pelakon drama bersiri Abang Bomba I Love You ini juga berharap agar orang ramai dapat menyokong filem ini dengan menontonnya di pawagam.
"Filem seperti ini seharusnya diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kepada sesiapa yang belum menonton, pastikan anda melapangkan masa dan menontonnya di pawagam," katanya.
Dalam pada itu, filem PASKAL The Movie telah meraih kutipan sebanyak RM16 juta dalam 10 hari tayangan.
Filem arahan Adrian Teh ini diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.
PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.
Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!
#Hisyam Hamid #Paskal #PASKAL The Movie