Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Niat Murni Disalah Erti, Prince Syed Pulangkan Semua Duit Sumbangan - “Tergantung Roh Saya Nanti Sebab…”

Asyraf Roslan 25/04/2025 | 04:55 MYT

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Prince Syed tampil memberi penjelasan berhubung salah faham yang timbul berkaitan penganjuran satu majlis sambutan raya bersama anak yatim, tahfiz dan asnaf yang dirancang berlangsung pada Ahad ini.

Menurut Syed, majlis tersebut sebenarnya dianjurkan menggunakan sepenuhnya dana peribadi dan beliau hanya membuka ruang kepada rakan-rakan serta pengikut yang ingin turut serta memberikan sumbangan secara ikhlas.

Namun, niat murninya disalah tafsir oleh segelintir pihak sehingga menuduh beliau cuba menggelapkan wang sumbangan.

"Saya sebenarnya keluarkan kewangan saya sendiri dan saya hanya kongsi untuk siapa yang nak join. Sebab masa saya nak buat majlis ini ada beberapa kawan dan kenalan yang bertanya boleh atau tidak untuk mereka turut serta .

"Dan saya baru sahaja post mengenai perkara tersebut sehari sahaja bagi mereka yang nak turut serta dan boleh menambah rezeki kepada anak-anak yatim ini. Sebab saya pun anak yatim, saya dah tak ada ayah sejak saya berumur 9 tahun.

“Tak akan la tergamak saya nak makan duit anak yatim, tak sampai hati saya nak buat semua tu dan nak kena menjawab nanti kat dalam kubur. Tergantung roh saya nanti sebab makan duit anak yatim," katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam masa sama, beliau mengakui tidak menyedari bahawa tindakan mengutip sumbangan melalui akaun peribadi adalah tidak dibenarkan.
Justeru, bagi mengelakkan sebarang salah faham berlarutan, beliau mengambil keputusan untuk mengembalikan semua wang yang telah didermakan.

"Kami hanya nak buat perkara-perkara yang baik, dan saya tak tahu ia tak boleh. Saya ni bukanlah orang yang pandai saya mengaku itu, kebanyakan isteri saya yang uruskan dan dia banyak mengajar saya. Jadi bila saya nak buat benda ni orang mungkin tak faham apa yang saya buat sehingga mereka salah faham.

"Jadi kami ambil keputusan untuk tidak teruskan dan pulangkan duit mereka yang sudah menderma. meskipun ada antara mereka yang tidak mahu wang itu dikembalikan kami tetap pulangkan kembali wang mereka kerana tidak mahu perkara buruk berlaku pada masa akan datang," tambanhnya.

Mengakhiri kenyataannya, Syed juga berkata dia akan lebih berhati-hati jika mahu mengadakan majlis amal selepas ini.

"Jika mahu buat selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan lakukannya secara tertutup. Saya rasa orang lebih suka saya buat content menunjuk-nunjuk jadi content baik-baik ni saya simpan sahajalah.

Terdahulu, netizen mempersoalkan tindakan Prince Syed yang meminta sumbangan bagi menganjurkan majlis sambutan raya bersama anak yatim, tahfiz dan asnaf.
Kata netizen, sebagai seorang jutawan seharusnya mereka lebih memberi bukannya meminta derma.

#Sumbangan #Prince Syed #Majlis Sambutan Hari Raya