Hiburan
"Niat Sebenar Untuk Beri Kesedaran..." - Pak Nil Perjelas Sebab Kongsi Perbualan Dengan Petugas Barisan Hadapan
Pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil berkongsi beberapa video perbualannya bersama petugas barisan hadapan yang sedang bekerja keras ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.
Perkongsian itu dibuat menerusi beberapa entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
Menurut Pak Nil dalam perkongsian terbarunya, meskipun ada segelintir pihak yang mendakwa dia mahukan perhatian dari beberapa kisah yang dipaparkan di Instagram, namun niat sebenar dia berbuat demikian hanyalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
"Walaupun ada yang kecam Paknil dengan menuduh Pak Nil cari perhatian dengan cerita-cerita yang dipaparkan, sesungguhnya nawaitu sebenar adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka yang masih ambil ringan tentang bahaya COVID-19.
"Paknil tidak akan tunduk pada kata-kata negatif," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam entri yang sama, Pak Nil berkongsi video perbualan berdurasi 11 minit 38 saat memaparkan seorang petugas kesihatan bernama Nurul yang telah dipinjam oleh hospital lain untuk mengendalikan kes COVID-19 disebabkan kekurangan kakitangan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut Pak Nil meninggalkan respon positif.
Ramai antara mereka yang memuji usaha murninya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya wabak COVID-19.
Sejak beberapa hari lalu, Pak Nil telah berkongsi beberapa video bersama anggota polis, ibu anggota polis, penghantar makanan dan pekerja bank untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menghentikan penularan wabak COVID-19.
Hari ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.
Sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dari pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 dengan segera.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan menggunakan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat, pakai topeng muka ketika perlu, gunakan 'sanitizer', amalkan penjarakkan sosial serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video