Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Nidji, Bunkface, OAG Antara Line Up Power Malika Mega Music Festival 2025!

Amri Hassan 06/05/2025 | 16:47 MYT
Bersiap sedia untuk sebuah acara epik yang bakal menggamatkan industri hiburan tempatan!
EMT Ventures Sdn Bhd kini tampil dengan penganjuran Malika Mega Music Festival 2025, sebuah festival berskala besar yang bakal berlangsung pada Sabtu, 31 Mei 2025 di MAEPS Serdang, Parking 1A.
Festival ini dijangka mencipta fenomena tersendiri dengan menyatukan elemen hiburan muzik kontemporari dan warisan budaya Melayu dalam satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, bermula seawal jam 2 petang hingga lewat malam.
Mengambil semangat daripada kejayaan penganjuran terdahulu seperti Kulit Wayang Cultural Run dan acara pelancaran filem yang digabungkan dengan Fun Run serta karnival dua hari, EMT Ventures kali ini mempersembahkan sesuatu yang lebih besar, lebih meriah dan pastinya lebih bermakna.
Malika Mega Music Festival 2025 bukan sekadar pesta muzik, ia adalah satu platform unik yang meraikan budaya sambil menyajikan persembahan artis-artis hebat dari dalam dan luar negara.
Antara sorotan utama festival ini ialah Pertandingan Tarian Etnik Kreatif Malika yang akan berlangsung pada sesi pagi. Pertandingan ini diadakan sebagai inisiatif untuk mengetengahkan kreativiti generasi muda serta mengangkat martabat seni budaya Melayu melalui gabungan tarian tradisional dan moden yang bertenaga.
Para peserta terdiri daripada pelajar dan komuniti tempatan yang sememangnya aktif dan bersemangat dalam bidang seni tari. Ia bukan sahaja mencetus inspirasi, malah menjadi pentas untuk mencorakkan warisan budaya dalam konteks kontemporari.
Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis yang cukup dikenali ramai seperti Bunkface, OAG, Krusty, Steeltoe Solutions, Conflict Crisis, Iqbal M dan No Good.
Sambutan terhadap festival ini sudah menunjukkan taringnya apabila 500 tiket awal telah habis terjual. Tiket-tiket kini masih boleh didapati dengan harga RM108 bagi Tiket Am (General Admission) dan RM168 untuk Tiket VIP.
Para peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi media sosial @MalikaMusicFest serta platform Ticket Empire dan Ticket Melon.
Dalam memastikan kelancaran dan impak acara ini, Malika Mega Music Festival 2025 turut mendapat sokongan kukuh daripada beberapa rakan kongsi industri seperti SSSION Sdn Bhd, Mega Media Marketing & Management, Surewin Entertainment, MXE Entertainment, Rhythm Revolt, Wolf Strike Brothers, Kopi Dan Studio serta Neptune Presents selaku penyelaras Nyala Fest. Manakala antara penaja utama yang turut memainkan peranan besar termasuklah MOSS, Yeo’s dan Halo Optical.
Menurut pihak penganjur EMT Ventures, Malika Mega Music Festival 2025 merupakan acara pertama seumpamanya yang menyatukan elemen muzik dan budaya dalam satu pentas besar.
Mereka komited untuk mencipta satu pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna, dengan memberi ruang kepada generasi muda untuk mengekspresikan kreativiti mereka dalam suasana yang meriah dan penuh inspirasi.
Para peminat dan media dijemput untuk mengikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif melalui saluran rasmi media sosial @MalikaMusicFest.
Ini bukan sekadar festival, ini adalah perayaan muzik, budaya dan komuniti yang menyatu dalam satu hari yang dijangka menjadi detik bersejarah dalam kalender hiburan Malaysia. Jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada gegaran Malika 2025!
#Bunkface #Nidji #OAG #MAEPS #Serdang #Malika Mega Music Festival