HIBURAN
Niezam Zaidi Kongsi Pengalaman Paling Sedih Dalam Hidup - “Selepas Solat, Saya Dapat Panggilan Daripada…”
Kehilangan ibu tercinta pada tahun lalu merupakan pengalaman paling sedih yang tidak dapat dilupakan oleh pelakon Niezam Zaidi sehingga kini.
Ibu meninggal dunia
Menerusi perkongsian ketika menjadi tetamu di podcast Sembang Seram, Niezam memberitahu dia mendapat tahu ibunya meninggal dunia sebaik sahaja selepas menunaikan solat.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dia Pandai Main Pickleball, Jadi Saya Ajak Dia…” – Niezam Zaidi Jawab Isu Video Tular Bersama Fify Azmi
ARTIKEL BERKAITAN: Gandingan Menjadi, Peminat Mahu Ezzanie Jasny Bercinta Dengan Niezam Zaidi - “Kami Memang Serasi Masa…”
“Tahun lalu saya kehilangan ibu saya… sebelum nak puasa. Ibu saya meninggal sebab komplikasi tiga serangkai, dia dah lama kena tapi makin lama makin kronik.
“Saya dapat tahu selepas saya selesai solat dan masih atas sejadah. Sebelum itu, kalau saya dapat panggilan daripada mak, hati rasa risau.
“Saya terfikir adakah mak saya atau orang lain. Tapi hari itu, selepas solat saya dapat panggilan daripada mak dan saya angkat. Adik saya cakap mak dah tak ada,” kongsinya.
Permintaan arwah ibu
Berkongsi mengenai hari duka itu, pelakon drama Dia Bukan Syurga ini berkata dia terkilan tidak dapat menunaikan permintaan arwah ibunya yang mahu minyak gamat sehari sebelum meninggal dunia.
“Ikutkan senang saja, dari atas sejadah, pergi siap dan balik jumpa mak. Tapi saya duk ulang alik tiga, empat, lima kali juga. Sehari sebelum itu, mak ada minta ubat minyak gamat tapi saya tak sempat nak bagi.
“Saya terpandang dekat minyak gamat itu. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan pengebumian arwah. Alhamdulillah, adik-beradik pun ada yang sempat datang,” katanya.
Titip pesanan
Dalam pada itu, Niezam sempat menitipkan pesanan buat semua orang agar menjaga baik ibu bapa yang masih lagi ada.
“Kadang-kadang kita selalu fikir ibu bapa kita yang akan pergi dulu… tapi ajal maut ini, kita pun boleh pergi dulu. Jadi kalau ada ibu bapa, jaga elok-elok.
“Mak cakap apa, ayah cakap apa… buat saja. Tak rugi pun. Sebab nanti bila dah tak ada korang rindu pula. Sekarang dah tak ada notification mak call,” ujarnya.