Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Niezam Zaidi Mengaku Bersalah Miliki Dadah! Dijatuhkan Hukuman Denda RM4,000 Atau..

Hanafis Haris
10/01/2022 06:36 MYT

Denda RM4,000 atau penjara 10 bulan! Itu hukuman dijatuhkan kepada pelakon Niezam Zaidi selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini.

Niezam membuat pengakuan tersebut atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan, Oktober tahun lalu.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut memerintahkan Niezam atau nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30, menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Menerusi laporan Berita Harian dan berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan hari ini, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 0.6 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, kira-kira 7.10 pagi 10 Oktober 2021 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dia turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) ADB kerana memasukkan dadah ke dalam diri sendiri iaitu dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 9.50 pagi pada tarikh sama.

Bagi kesalahan memiliki dadah, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda manakala untuk kesalahan penyalahgunaan dadah, Mohd Shazmeer menetapkan jumlah denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda, selain menetapkan tempoh pengawasan terhadap Niezam.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Suraya Hanafi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mengambil kira faktor antaranya pendapatan purata tertuduh kira-kira RM2,500 sebulan yang terjejas teruk berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon disebabkan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh dengan alasan kes ini membabitkan kepentingan awam yang lebih tinggi daripada kepentingan individu tertuduh iaitu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat yang mengikuti perkembangan kes.

Dalam kes berasingan, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM3,800 kepada pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 50, dan RM4,000 kepada penolongnya, Saiful Zaidrin Ismail, 47, selepas mereka turut mengaku bersalah masing-masing atas dua tuduhan iaitu memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Kesalahan memiliki dadah yang dilakukan kedua-dua mereka adalah sama sebagaimana masa, tarikh, dan lokasi kesalahan yang dilakukan oleh Muhamad Niezam iaitu di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, kira-kira 7.10 pagi 10 Oktober 2021.

Bagi tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) ADB.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Sumber: Berita Harian

#Dadah #Hukuman #Niezam Zaidi