Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Nik Ezanee Dilantik Juruiring PM, Netizen Luah Rasa Kecewa - “Satu Kehilangan Untuk Orang Awam”

Azwa Rahman
17/12/2021 00:35 MYT
Pegawai kanan polis, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang sebelum ini tular kerana sikap mesra dan prihatinnya kepada masyarakat dilantik sebagai pegawai Aide De Camp (ADC) atau pegawai pengiring kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan pelantikan Nik Ezanee.

"Ya benar, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Pegawai Khas bermula hari ini (Rabu),” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, kekosongan jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor bakal diisi dalam masa terdekat.

Terdahulu, Nik Ezanee menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor berkuat kuasa 12 April lalu, dan sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Nama Nik Ezanee menjadi sorotan ramai apabila tampil membantu seorang wanita yang terdesak mencuri plaster kebab demam untuk merawat anaknya.

Malah, beliau tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan wanita berusia 30-an itu.

Tidak terhenti setakat itu, Nik Ezanee bersama polis Petaling Jaya menyampaikan bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan lain demi membantu wanita berkenaan yang hidup sukar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Nik Ezanee juga beberapa kali tular di media sosial dengan menyumbang kotak barangan bantuan untuk diberikan kepada pihak kesempitan dan foto-foto bantuan tersebut ditularkan oleh wargamaya.

Di media sosial, berita pertukaran tersebut mengundang reaksi bercampur-baur wargamaya yang rata-ratanya berasa pelik dan kecewa dengan perpindahan beliau.

Menurut mereka, seorang pegawai polis yang berintegriti seperti beliau selayaknya diberikan tanggungjawab yang lebih besar.

“Allahu … kepakaran sebegini sepatutnya bukan untuk pengiring… semoga Allah selamatkan Malaysia,” komen seorang wargamaya.

“This is not right @IsmailSabri60 . A man like him should serve the people not by being your protocol officer. Put him back to where he is belongs,” tulis seorang wargamaya.

“No!!!! Kenapa pegawai polis yang baik dan berkredibiliti ditugaskan seperti bodyguard!? Dia sepatutnya menjaga PDRM dan melatih lebih ramai pegawai bawahan berintegriti,” luah seorang wargamaya.

“Rugi. Bazir. Tuan Ezanee lebih bagus berada di lapangan, bukan di samping PM,” kata seorang wargamaya.

“Loh! Kesiannya. Satu pegawai tinggi polis yang terbaik banteras jenayah jadi juruiring je? Satu kehilangan untuk awam,” komen seorang wargamaya lagi.
#Ketua Jabatan Jenayah Selangor #Nik Ezanee Mohd Faizal #Pegawai pengiring PM
;