Hiburan
Nikah 8 Disember, Hidayah Satu-Satunya Wanita Dihati Abam
Pelawak popular, Abam Bocey mengakui gadis bernama Hidayah, 26, satu-satunya gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya dan tidak pernah menyangka akan bergelar suami tidak lama lagi.
Mengakui akan bernikah pada 8 Disember ini, Abam berkata dia tidak gementar tetapi perasaannya ketika ini lebih kepada tidak sangka masih ada wanita yang sudi menerima dirinya seadanya.
“Ramai orang tanya samada saya sudah bersedia menjadi suami atau gementar menanti hari bahagia, tetapi sebenarnya perasaan ini lebih kepada tidak sangka ada juga wanita sudi menjadi surihati saya.
“Saya dan Hidayah mula berkawan sejak 2009, sebelum saya melangkah kaki ke Raja Lawak 6 lagi. Hubungan kami pernah putus sekejap.
“Tapi kalau dah jodoh, macam mana pun akan bertaut juga,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Tambah Abam, dia telah menghantar rombongan merisik kepada Hidayah pada bulan September baru-baru ini.
“Bukan berniat untuk merahsiakan perkara tersebut, tetapi saya tidak mahu ‘kecoh’ dahulu kerana bimbang tidak jadi.
“Untuk majlis pertunangan pula, kami akan bertunang pada 8 Disember pada sebelah pagi sebelum majlis pernikahan berlangsung,” katanya.
Bercakap mengenai majlis perkahwinan dia dan Hidayah, Abam berkata, majlis pernikahannya akan diadakan di kediaman pengantin perempuan di Sabak Bernam.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan diadakan keesokan harinya (9 Disember) dan majlis menyambut menantu akan diadakan pada 20 Januari, di kediaman Abam, di Gombak.
Ketika dihubungi, Abam sedang dalam perjalanannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan berlepas ke London pada mala mini.
Abam ke London untuk menjalani penggambaran drama Tuyul Ke London selama 20 hari bersama Achey dan Atu.
Drama bersiri tersebut bakal ditayangkan di Astro Warna.
Must-Watch Video