HIBURAN
Nikah Di Thailand Sah, Marissa & Aslam Kini Hanya Perlu Buat Pendaftaran Di JAWI
Pasangan sensasi, Marissa Dania dan suaminya, Ahmad Aslam, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla, Thailand, pada 27 Disember 2023 sebagai sah mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Luah rasa lega
Ketika ditemui sejurus selesai prosiding, Aslam atau nama penuhnya, Ahmad Aslam Saifun Kasyfun Nazir Rasyid, 26, hanya menzahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah sebelum meninggalkan kawasan perkarangan mahkamah bersama Marissa sambil berpimpin tangan.
“Alhamdulillah, kes sudah selesai. Ya (sudah sah). Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.
“Saya tidak ada apa-apa lagi yang mahu katakan. Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” ujar Aslam ringkas.
Mahkamah luluskan permohonan
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili pasangan terbabit, Muhammad Ammar Yaser B Ahmad Nazri, mengesahkan bahawa mahkamah telah meluluskan permohonan mengikut Seksyen 23(1A), iaitu berkaitan pengesahan nikah poligami luar negara tanpa kebenaran.
“Pernikahan Marissa dan Aslam adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang serta boleh didaftarkan.
“Mahkamah sudah sahkan dokumen dari Thailand. Selesai dari segi undang-undang. Selepas ini, mereka perlu daftarkan pernikahan secepat mungkin dengan pihak JAWI,” jelasnya.
Sekadar info, kehadiran mereka kali ini adalah bagi menghadiri prosiding kedua bagi siasatan pengesahan pernikahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sepatah Pun Tak Bersuara, Marissa Dania & Aslam Hadir Bagi Prosiding Pengesahan Nikah Di Thailand
ARTIKEL BERKAITAN: Aslam Belum Sempat Jumpa Abby Abadi Untuk Mohon Maaf, Harap Kemelut Keluarga Berakhir - “Saya Mencari Masa Yang Sesuai Untuk…”
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih Setahun Nikah Di Songkhla, Marissa Dania & Suami Hadir Ke Mahkamah Untuk Pengesahan Pernikahan - “Prosiding Hari Ini Ditangguhkan Sebab…”
Prosiding sebelum ini yang diadakan pada 5 Mei lalu ditangguhkan berikutan kesilapan dalam pengisian borang oleh pihak suami.
Untuk rekod, perkahwinan pasangan ini mencetus kontroversi apabila dikatakan berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan, yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Ia turut dilakukan tanpa pengetahuan kedua ibu bapa Marissa, iaitu pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.
Aslam sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Umisya Mazlan pada Julai 2020. Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3, dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.