Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Nikmati Masakan Cina Dengan Sentuhan Moden Di Way Modern Chinois!

Asraf Aided 08/09/2020 | 11:00 MYT
Kepada anda yang menggemari masakan Cina dan sukakan suasana restoran yang selesa, moden dan 'cosy', anda harus berkunjung ke Way Modern Chinois Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan yang sangat menyelerakan.
Terletak di tingkat bawah bangunan Clearwater di jalan Changkat Semantan, Bukit Damansara, restoran ini menyajikan hidangan bebas daging khinzir.
Antara keistimewaan restoran ini, mereka menyajikan masakan Cina dengan sentuhan moden yang semestinya sukar didapati di mana-mana restoran lain.
Gempak berkesempatan mencuba beberapa hidangan makan tengah hari di Way Modern Chinois semalam. Jadi, mari kita lihat senarai hidangan yang anda patut cuba ketika bertandang ke restoran ini.
Shanghai Soup Dumpling
Melihat pada gambarnya, anda mungkin terfikir rasanya sama dengan dumpling yang disajikan di restoran lain, tetapi ia sebenarnya berbeza! Dumpling berisi sup ayam ini dimasak dengan cara Shanghai ternyata memberi keenakan luar biasa.
Pecahkan sedikit dumpling dan nikmati rasa sup ayam itu dahulu sebelum anda memakannya secara keseluruhan.
Empat biji dumpling ini hanya dijual pada harga RM16.00 sahaja.
Molecular Skinless Dumpling
Ya! Ini bukan dumpling seperti yang anda selalu makan sebelum ini kerana ia tidak disaluti kulit atau balutan tepung.
Ia dihasilkan secara istimewa oleh Chef di Way Modern Chinois dimana dumpling ini hanya dihidangkan berbentuk molekul, umpama anda terus memakan sup yang terkandung di dalamnya.
Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu suap keseluruhan hidangan dalam sudu ini sekaligus dan nikmati letusan keenakan sup di dalam mulut anda.
Molecular Skinless Dumpling ini dijual hanya pada harga RM6.00 sahaja setiap satu.
Golden Rose Wantons
Nikmati keenakan udang yang digoreng bersalut balutan wonton yang sangat rangup.
Di bahagian atas wonton berbentuk bunga ini telah disapu dengan sos buatan sendiri yang sangat enak, ia juga tidak terlalu pedas untuk dinikmati.
Lima biji Golden Rose Wantons ini dijual pada harga RM25.00 sahaja.
Wagyu Porcupine Buns
Anda pasti tidak akan lupa tentang keenakan ban ini selepas mencubanya! Ianya juga unik kerana berbentuk landak.
Untuk isi di dalamnya pula, anda akan menikmati kelazatan daging wagyu yang dicampur dengan lada hitam.
Wagyu Porcupine Bun ini dijual pada harga RM13.00 setiap satu.
Pac Man Dumplings
Isi dumpling ini menggunakan udang yang dikukus serta diperam dengan rempah Szechuan dan sos ponzu.
Menariknya, dumpling ini turut dihidangkan bersama salad avocado yang sangat enak!
Empat biji Pac Man Dumplings ini dijual pada harga RM24.00.
Crab Roe Dumpling
Dumpling keemasan ini pula menggabungkan keenakan telur ketam dan udang.
Tiga biji Crab Roe Dumpling ini dijual pada harga RM20.00 sahaja.
Prawn Dumpling With Premium Seafood Sauce
Dumpling ini juga tidak kurang enaknya! Nikmati keenakan rasa udang yang dikukus serta campuran sotong yang menambahkan keistimewaan pada Siew Mai ini!
Musang King Durian Snow Skin Mooncake
Akhir sekali, selepas menghirup 'Pu-erh Tea', restoran ini menghidangkan pencuci mulut yang unik dan enak iaitu Musang King Durian Snow Skin Mooncake.
Ya! keenakan durian Musang King sebenar telah digabungkan dalam kek bulan berwarna unggu ini.
Paling penting, warna unggu pada bahagian luaran kek ini menggunakan warna asli dari bunga telang menjadikan hidangan ini bebas bahan pewarna tiruan.
Kek bulan ini dijual pada harga RM25 setiap satu, anda juga berpeluang untuk mendapatkan 4 biji untuk harga RM88.00 sahaja.
Musang King Durian Snow Skin Mooncake ini adalah terhad dan dijual sehingga 1 Oktober 2020 sahaja.
Apa tunggu lagi? Datanglah ke Way Modern Chinois bersama keluarga, rakan ataupun kenalan kerja kerana restoran ini direka untuk mereka yang mementingkan privasi dan kualiti makanan yang dihidangkan.
Klik di sini untuk melihat lebih lagi pilihan menu yang ditawarkan!
#Restoran #Way Modern Chinois
;