Polis Daerah Nilai telah memulakan siasatan berhubung kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam yang dimuatnaik pemilik Facebook N9 Radar.

Sehubungan itu pemilik akaun diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman menegaskan bahawa Nilai 3 merupakan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan dan bukannya terletak dalam negeri Selangor.

"Kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook N9 Radar boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya dalam sebuah kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai juga dinasihatkan supayat tidak memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau berita yang tidak benar di laman sosial.


Terdahulu, pemilik akaun N9 Radar telah menyalin tampal berita melibatkan selebriti Neelofa dan suaminya Pu Haris yang tidak akan dikenakan tuduhan rentas negeri seperti yang diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Menerusi hantaran yang dibuat, N9 Radar turut menulis “Nilai 3 kek Selangor oh baru tahu…Achik dia!”