"Nilainya Lebih Dari Piala" - Altimet Gembira Karya Jadi Bahan Kajian Pelajar Universiti

Asraf Aided
Januari 22, 2020 11:21 MYT
Rapper dan komposer, Altimet meluah perasaan gembira apabila dua lagu hasil ciptaannya sekali lagi menjadi bahan kajian pelajar universiti.
Berita gembira itu dikongsi Altimet menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan ramai.
Berdasarkan foto yang dikongsi, seorang pelajar bernama Nurul Shafiqah Shuhada yang menuntut bidang penulisan artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah membuat kajian terhadap elemen sinisme dalam lirik lagu Bunga dan Mambang.
Menurut Altimet, dia merasakan perkara itu sebagai satu penghargaan yang besar untuk dirinya.
"Satu penghargaan yang sangat besar untuk saya secara peribadi. Nilainya lebih dari piala yang fizikal, hati ada senyum.
"Terima kasih @shafiqahshuhada, moga awak dapat apa yang awak impikan, Insya-Allah Amin," tulis Altimet di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu kemudiannya mendapat respon positif dari para pengikut Altimet di ruangan komen.
Rata-rata mereka memuji dan turut berasa bangga dengan berita gembira itu.
Tahun lepas, Altimet pernah berkongsi tentang lagunya diangkat menjadi bahan thesis oleh seorang pelajar UiTM yang menuntut jurusan Pengajian Bahasa Gunaan.
Terdahulu, pada November 2018, Altimet telah mengumumkan dirinya bersara sebagai seorang rapper yang membuat persembahan di pentas.
Namun persaraannya itu hanyalah dari aspek persembahan, dia masih aktif meneruskan karya seni di belakang tabir sehingga kini.
#Altimet #Altimet