KILAUAN EMAS 2025
Ning Baizura Sebagai Juri! Kakak Arwah Achik Spin, Ibu Ray-D Alpha & ‘Klon’ Awie Antara Bintang Kilauan Emas 2025
Peneraju kandungan dan hiburan Malaysia, Astro kembali dengan penganjuran musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025.
Susulan kejayaan penganjuran semula pada tahun 2024, musim kali ini memperkenalkan beberapa
pembaharuan strategik termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun bagi memberi lebih banyak ruang kepada bakat baharu dalam kalangan generasi otai.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari, musim ini menyaksikan penambahbaikan ketara
dari segi kriteria penyertaan dan format produksi.
“Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang
diterima. Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, malah merupakan medium untuk
menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.
“Kami juga teruja apabila melihat penyertaan daripada individu yang mempunyai latar
belakang seni keluarga.
“Ia membuktikan bahawa minat dan semangat dalam seni tidak pernah luntur, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan
Kilauan Emas kekal sebagai pentas untuk membina keyakinan serta memperkasa golongan otai dalam
mengejar impian mereka,” jelasnya.
Musim ini menyaksikan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun termasuk Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay.
Masing-masing membawa keunikan dan kekuatan tersendiri dalam merebut tempat sebagai juara.
Program ini dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.
Barisan juri pula mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura.
Kilauan Emas 2025 akan bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang akan membawakan info-info menarik selepas konsert berlangsung dan bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima.
Manakala Keanu Azman dan Sarah Karmila pula diberi tanggungjawab sebagai hos Live+.
Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box,
Astro GO dan aplikasi sooka.
Must-Watch Video