Ratu Rock Negara Ella mendedahkan dirinya pernah berhadapan dengan masalah kesihatan mental berkaitan keresahan (Anxiety) dan kemurungan (Depression).

Pendedahan yang disifatkannya sebagai no more secret itu dituliskan dalam hantaran terkini dalam akaun Facobook miliknya.

Ella menuliskan pendedahan dirinya pernah menghadapi situasi anxiety dan depresi sebagai tanda sokongan kepada rakyat Malaysia, terutama bagi mereka yang sedang bergelut dengan masalah sama.

Beliau juga mahu mewujudkan grup yang akan berkongsi mengenai masalah kesihatan mental di Facebook dan meminta pandangan peminat memberi nama bagi grup tersebut.

Sebelumnya, penyanyi Layar Impian ini sempat bersuara dan melahirkan kebimbangan apabila membaca laporan dan melihat statistik rakyat yang berdepan masalah kesihatan mental sehingga ada yang membunuh diri kerana tertekan dengan situasi kehidupan di fasa pandemik COVID 19.

"Perkongsian Ella berkaitan keresahan(Anxiety) dan kemurungan(Depression) kelmarin dapat sambutan.

"Melihat kepada ramainya yang terganggu dari sudut emosi dan fikiran saat ini , Ella dan team bercadang untuk wujudkan satu page FB khusus untuk anda mengurus dan menangani tekanan perasaan (Anxiety/Depression)," tulis Ella pada awal bicara.

Beliau kemudian menyambung tulisan dengan membuka rahsia hidupnya yang pernah berdepan masalah kemurungan dan depresi saat berada di puncak karier.

Justeru beliau meminta agar sesiapa yang mengalami masalah sama berkongsi pengalaman menerusi inisiatif yang mahu diusahakannya.

"Bagi yang pernah atau sedang mengharunginya jangan segan untuk sama sama kita berkongsi pengalaman ok.

"Ella akan pastikan info tepat dari yang berpengalaman untuk berkongsi nasihat percuma dan berguna dalam masa kita sedang susah mengharunginya.

"Ella amat faham kerana satu ketika dulu Ella pernah hadapi masalah yang sama (no more secret).

"Ella selalu rasa suram atau hitam, lesu dan letih yang berpanjangan. Terlalu banyak tanda soal dalam kepala (ketika itu).

"Namun Ella beruntung, waktu itu Ella ada Mak dan Jojie ... Ella berterima kasih pada mereka kerana kami sama sama laluinya. Waktu itu Ella di puncak karier dan ia bukanlah satu perjalanan yang mudah," dedah Ella buat pertama kali.

Bersama pengakuan itu, Ella menitipkan doa agar semua yang berhadapan masalah kesihatan mental agar kekal kuat dan berjanji akan berkongsi tips daripada pakar untuk dilakukan.

Malah tanpa berselindung Ella mendedahkan kehidupan dia dan suaminya, Azhar juga terkesan dengan pandemik COVID 19.

"Sekarang ni zaman susah. Ella dan Azhar pun banyak terkesan. Jadi, bersama samalah kita untuk tempuhi segalanya. Stay strong semua," katanya.