Berita

Noh Terkejut Mizz Nina Tarik Semula Kes Penjagaan Penuh & Inter-Parte Musa - “Dia Minta Saya Datang Kemudian Dia Tarik Kes”

gempak
Gempak
05/02/2024
03:56 MYT
Sponsor Banner
Noh Terkejut Mizz Nina Tarik Semula Kes Penjagaan Penuh & Inter-Parte Musa - “Dia Minta Saya Datang Kemudian Dia Tarik Kes”
Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengakui terkejut apabila bekas isterinya, Mizz Nina menarik semula kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkat mereka, Musa.
Menurut Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh, 39, dia hanya mahukan kebenaran kerana mendakwa dirinya sudah dianiaya.
Malah, Noh menafikan dakwaan yang mengatakan dia menculik Musa pada 19 Disember lalu.
“Saya terkejut, dia (Mizz Nina) minta saya datang mahkamah kemudian dia menarik kes. Ketika proses Sulh pun tiada apa yang terjadi. Jadi tunggu esok (6 Februari) di hadapan hakim.
“Harapan saya semoga ada kebenaran kerana saya sudah dianiaya di hadapan khalayak ramai, saya hanya mahu kebenaran.
“Saya tidak menculik Musa, ketika itu saya ada persembahan di Sabah. Kalau saya culik saya akan sorok. Tapi saya tunjuk Musa ada dengan saya. Saya juga mencari Mizz Nina untuk berbincang,” kata Noh selepas selesai prosiding Sulh bagi hak penjagaan Musa yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, pada Isnin.
Dalam pada itu, Noh mendedahkan yang dia tidak mengetahui apa punca sebenar bekas isteri menarik semula kes tersebut.
“Saya perlu menjawab tuduhan dia, tidak adil di sebelah pihak saya dan apa sebenarnya permainan dia? Saya mahukan kebaikan untuk Musa.
“Tiada perjanjian hak penjagaan, kalau ada sila tunjukkan. Surat yang dikatakan hanya SD (akuan berkanun) sahaja, tidak boleh digunapakai dalam kes ini dan surat itu sudah ditarik balik.
“Kalau boleh nak jaga sama-sama, ada sebab saya buat begitu. Saya tidak akan suka-suka masuk hal rumah tangga orang.
“Itu bukan anak dia, Musa anak Wan Nuraisyah Athirah. Saya sudah dapat surat pengesahan daripada ibu kandung Musa,” katanya lagi.
“Sementara itu, peguam yang mewakili Noh iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin berkata tiada sebarang dokumen penyerahan dikemukan.
“Pada dokumen penjagaan itu ada dua nama, satu nama Noh dan satu nama Mizz Nina. Jadi tiada isu. Tiada dokumen penyerahan hanya ada dokumen penjagaan.
“Dua-dua ada hak, isunya sekarang hak itu ada pada siapa. Siapa yang menidakkan siapa?”, katanya.
Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.
Nina berkata kejadian tersebut berlaku pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.
Bagaimanapun, Noh membuat kenyataan di program Melodi bahawa tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Kemudiannya, vokalis kumpulan Hujan itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut oleh ibu kandung kepada anak angkatnya, Musa, yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.
Sekadar info, Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.

BERITA TRENDING: Prosiding Sulh, Noh Harapkan Penyelesaian Terbaik Sementara Mizz Nina Diwakili Suami

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024