HIBURAN
Noorkhiriah Anggap Watak Nor Dalam Seribu Tahun Sangat Istimewa, Jayakan Khusus Buat Shahrulezad – “Saya Sampai Masuk Kelas Lakonan”
Pelakon serba boleh, Noorkhiriah, menganggap watak Nor dalam drama Seribu Tahun sebagai sebuah peranan yang amat istimewa dan begitu dekat di hati pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin.
Watak Nor Penuh Emosi
Menurut Noorkhiriah, watak itu bukan sekadar satu cabaran biasa, malah benar-benar menguji ketahanan emosi dan kesabarannya dalam menghidupkan karakter seorang individu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penuh kehalusan dan kejujuran seni.
“Saya sangat suka dengan watak Nur dalam Seribu Tahun ini. Watak ini terlalu Istimewa bagi saya dah watak ini khusus untuk Abang Ijat saja.
“Cabarannya sangat banyak. Ia menuntut satu kesabaran yang tinggi dan saya tidak pasti adakah saya ‘dapat’ watak itu sebenarnya.
“Bezanya dari drama saya sebelum ini adalah saya perlu ‘grab’ karakter tersebut sebaik mungkin. Kalau saya terlepas ia takkan jadi,” katanya kepada Gempak.
Ikuti Kelas Lakonan
Dalam pada itu, Noorkhiriah yang bergandingan bersama pelakon Azhan Rani itu mendedahkan dia turut mengikuti kelas lakonan demi menjayakan watak tersebut.
“Untuk Seribu Tahun ini, Abang Ijat matangkan watak saya daripada watak drama terdahulu.
“Di situ susahnya saya untuk keluar daripada karakter yang saya sudah buat sebelum ini, jadi ia ‘makan hari’ juga untuk keluar daripada watak itu sehingga saya masuk kelas.
“Saya boleh katakan, cukuplah untuk ini. Andai kata ada permintaan lain, tidaklah, kerana ini khas dan Istimewa untuk Abang Ijat saja, saya terima kasih pada dia,” kongsinya lagi.
Di bawah sentuhan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin, Seribu Tahun mengupas kisah luka hati, pengkhianatan, dan perjuangan tanpa henti demi cinta seorang ibu dan ayah. Sebuah karya yang menjanjikan emosi yang mendalam serta meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.
Seribu Tahun menampilkan barisan pelakon hebat yang membawakan watak dengan penuh penghayatan, antaranya Emma Maembong sebagai Puteri Imaan Suhana, Azhan Rani sebagai Shukri, Noorkhiriah sebagai Nor, Mikael Noah sebagai Muhammad, Laila Nasir sebagai Dato’ Norish, Ziema Din sebagai Datin Sofea, Ali Reza Kavoossi sebagai Azrul, Nazrief Nazri sebagai Dr. Azhar, Zarif Ghazzi sebagai Fakhrul, Didie Alias sebagai Kak Oyen, Azrul Zaidi sebagai Beego, Elly Suhaili sebagai Cik Idah, Noreen Iman sebagai Nurse Zah, Ieda Moin sebagai Ika, dan Amy Nur Tinie sebagai Gina.