HIBURAN
Nora Ariffin Reda Jika ‘Hilang’ Suami Buat Kali Kedua - “Tiada Siapa Yang Berkahwin Mahu Bercerai”
Penyanyi Datuk Nora Ariffin reda sekiranya perlu melalui kehilangan sekali lagi jika perkahwinannya dengan Dr Rushdi Ramli berakhir dengan perceraian.
Nora, atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, menyatakan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya urusan rumah tangganya kepada ketentuan takdir.
“Terus-terang, tiada siapa yang berkahwin mahu bercerai. Saya pernah melalui episod kehilangan (merujuk kepada kematian suami terdahulu), dan kini diuji lagi.
“Tetapi saya percaya Allah susun kehidupan saya dengan sebaik-baiknya.
“Saya buat apa yang terbaik dan berdasarkan fakta serta bukti. Kami tidak bercakap sesuka hati,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, hari ini.
Ditanya mengenai penerimaan anak-anak, Nora berkata dia bersyukur mereka memberikan sokongan penuh.
“Mereka tidak campur tangan kerana menganggap ini urusan antara ibu dan bapa.
Kecuali jika mereka terlibat secara langsung, mereka tidak mahu masuk campur,” jelasnya.
Sebelum ini, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya kira-kira pukul 9.26 pagi tadi bagi memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Untuk info, Nora pernah diceraikan suaminya, Dr Rushdi Ramli menerusi sebuah video pada Ogos lalu.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi lagu Desa Tercinta ini memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis yang diadakan sekitar hujung tahun 2021.
Nora sebelum itu pernah berkahwin dengan komposer Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.