HIBURAN
Nora Ariffin Tak Mampu Ramal Bercerai Atau Tidak - “Saya Tak Boleh Terlalu Emosi”
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengakui tidak mampu meramalkan pengakhiran episod keretakan rumah tangganya dengan suami, Dr Rushdi Ramli.
Menurut Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, dia menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.
“Saya tak tahu (bercerai atau tidak), tak berani nak cakap. Saya hanya buat apa yang saya rasa patut.
“Saya hanya serahkan kepada mahkamah, apa yang penting saya hanya buat yang terbaik. Sudah berdoa dan cuba usaha sebelum ini tapi tak jalan juga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pagi tadi.
Selain itu, Nora turut menegaskan dia dan suaminya telah mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, namun tiada jalan penyelesaian ditemui.
“Sekarang saya hanya berserah sahaja kerana sudah buat apa patut, ikut prosedur, undang-undang dan kita ikut sahaja apa yang dilalui ini.
“Saya tak boleh terlalu emosi atau berlebihan. Sebagai manusia, saya dan suami sudah cuba sedaya upaya, tapi tak jumpa jalan penyelesaian.
“Maka, disebabkan itu kami datang ke mahkamah dan serahkan kepada mahkamah untuk menilai secara baik dan lebih beretika,”katanya.
Dalam masa sama, peguam kepada Nora iaitu Siti Zulaikha menjelaskan, mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 6 Ogos.
Terdahulu, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mewakilinya di mahkamah.
Untuk info, Nora pernah diceraikan suaminya, Dr Rushdi Ramli menerusi sebuah video pada Ogos lalu.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi lagu Desa Tercinta ini memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara dalam satu majlis yang diadakan sekitar hujung tahun 2021.