Pengarah Rashid Sibir amat terkenal dengan sentuhan karya yang menyentuh perasaan dan mampu mengundang air mata penonton seperti ‘Pondok Buruk’, ‘Quran Buruk’, ‘Terbuka Pintu Syurga’, ‘Tanah Kubur’, kini kembali dengan buah tangan terbaru iaitu filem Tilam Perca.

Mempertaruhkan bintang-bintang otai dalam mengemudi watak-watak utama setiap naskhah arahannya, Rashid menggabungkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Norlia Ghani, Amerul Affendi, Nasir Bilal Khan, Datuk Jalaluddin Hassan, Didie Alias, Datuk Rahim Razali dan Faradhiya dalam Tilam Perca.

Menurut Rashid Tilam Perca mengangkat subjek tentang kasih sayang ibu buat anak-anaknya.

"Saya suka menghasilkan sebuah naskhah yang mengetengahkan tentang drama kekeluargaan. Kali ini saya membawa subjek kasih seorang ibu buat anak-anaknya.

"Saya yakin filem sebegini jarang dipersembahkan di platform Astro First jadi saya cuba tampilkan Tilam Perca buat penonton serta sumbangan saya pada industri. Saya harap filem ini dapat menerima sambutan baik daripada penonton seisi keluarga.

"Dan saya mengharapkan filem ini bukan hanya memberi nilai hiburan semata-mata dan tetapi mampu menyampaikan nilai pengajaran seperti sayangi keluarga anda menerusi babak-babak yang disuntik dengan elemen kasih sayang," ujarnya.

Didie Alias lumur telur ke muka Norlia Ghani

Terdapat satu babak melumur telur ke muka Norlia Ghani yang harus dilakukan oleh Didie Alias, dan pengarah telah mengarahkan Didie Alias untuk membuat dengan kasar agar babak tersebut nampak semula jadi.

Meskipun Didie Alias tidak sampai hati untuk berbuat demikian, namun atas sikap profesional kedua-dua pelakon tersebut, adegan itu berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, gandingan Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan sebagai adik beradik amat menjadi dan kedua-dua pelakon pandai menggunakan ruang meskipun Jalaluddin lebih tua daripada Nasir yang memegang watak sebagai abang.

Lagu tema Tilam Perca iaitu “Terlalu Rindu” merupakan nyanyian Halim Ahmad, hasil ciptaan dan lirik oleh penyanyi dan composer Halim Ahmad sepenuhnya.

Sinopsis Tilam Perca

Jalan cerita Tilam Perca amat dekat dengan masyarakat kita di mana ia mengangkat konflik kekeluargaan.

Tilam Perca mengisahkan tentang seorang nenek yang sanggup bergadai nyawa dan harta untuk anak-anaknya, Pak Tan dan Pak Man. Namun, nenek tetap dilayan hina oleh kedua-dua lelakinya serta menantu yang tidak berperikemanusiaan.

Sementara itu, orang kampung juga memandang hina terhadap nenek kerana menjaga cucu iaitu Akob yang seorang penagih. Namun Nenek sebagai ibu dan nenek masih cuba menerima semua dugaan dan masih menyayangi anak dan cucu.

Saksikan filem Tilam Perca dan sediakan tisu untuk mengesat air mata anda bermula 3 Disember ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 3 Disember 2022.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro First, Astro Shaw dan Astro First.