Berita
Normal Baharu: 92.9% Rakyat Malaysia Sedia Kekalkan Gaya Hidup Selepas Tamat PKP
Sebanyak 92.9 peratus atau 38,455 responden bersedia untuk mengekalkan gaya hidup sekarang selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini sejak 18 Mac lalu, lapor Astro Awani.
Hasil Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan memaklumkan daripada jumlah tersebut, 93.6 peratus menyatakan akan meningkatkan penjagaan kebersihan, diikuti dengan menghadkan aktiviti sosial (83.3 paratus) serta menghadkan aktiviti pelancongan (67.1 peratus).
“Ini menunjukkan majoriti responden sama ada di bandar atau luar bandar bersedia untuk meningkatkan amalan penjagaan kebersihan diri bagi mengekang jangkitan penyakit.
“65.4 peratus responden terdiri daripada mereka yang bekerja manakala 21.6 peratus responden tidak bekerja.
“Dalam kalangan yang bekerja, 42.6 peratus bekerja dari rumah dan 20.3 peratus bekerja secara bergilir atau mengikut keperluan dengan bergaji penuh,” demikian menurut kajian tersebut, hari ini.
BACA: 96.8 peratus responden terima manfaat daripada pakej PRIHATIN
Dalam pada itu, hasil kajian itu turut mendapati 93.7 peratus responden berpuas hati dengan pencapaian dan fasiliti yang disediakan dalam menangani COVID-19 di negara ini berbanding negara-negara lain.
Bagaimana, 0.9 peratus lagi menyatakan tidak berpuas hati terhadap perkara tersebut.
Lebih mengembirakan apabila pengorbanan petugas barisan hadapan terus dihargai selepas 96.1 peratus responden berpuas hati dengan ‘frontliners’ termasuk fasiliti kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.
Laporan tersebut dijalankan secara dalam talian bermula 10 hingga 24 April lalu membabitkan empat modul iaitu umum, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan meliputi 36 soalan.
Seramai 41,386 responden yang berumur 15 tahun dan ke atas telah menyertai survei tersebut, dengan 70.7 peratus responden di bandar dan 29.3 peratus responden di luar bandar.
Sumber: Astro Awani