Pasangan pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi serta suami Muhammad Faizal Zakaria berangkat menunaikan umrah bersama-sama malam tadi (Khamis).

Keempat-empat mereka turut membuat perkongsian di laman sosial Instagram (IG) masing-masing dan memohon pengikut di IG mendoakan perjalanan mereka ke tanah suci, Makkah.

Mereka juga berharap agar urusan sepanjang mengerjakan umrah bersama anak-anak Danish Hakim, Marissa Dania, Maria Danisha, Muhammad Darwisz Hakim, Muhamad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha dipermudahkan.

Bagaimanapun dua orang anak angkat Abby dan Faizal, Muhammad Daiyan dan Maisara Dayana Fathia tidak turut serta.

Ini juga merupakan kali pertama keluarga besar Norman Hakim, Memey Suhaiza Abby Abadi dan Muhammad Faizal serta anak-anak mengerjakan umrah bersama-sama.

“Doakan perjalanan kami sekeluarga dan para jemaah @widadtours selamat sampai dan dipermudahkan segala urusan kami sepanjang mengerjakan umrah.

“Di kesempatan ini saya mewakili keluarga besar kami mohon ampun dan maaf kalau ada salah silap terkurang terlebih dalam apa jua perkara,” tulis Memey di IGnya.

Sebelum ini, keakraban hubungan Norman Hakim dan bekas isterinya Abby Abadi sering dipuji netizen.

Malah keakraban mereka semakin kukuh apabila isteri kepada Norman, Memey Suhaiza turut menjadi ibu susuan kepada anak Faizal dan Abby Abadi yang baru lahir.

Pada September 2017, pasangan Norman Hakim dan Memey, dan pasangan Faizal dan Abby turut mengadakan majlis persandingan kali kedua bagi merapatkan lagi hubungan keluarga besar mereka.