Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Notis Tuntutan Mahkamah Dihantar, Linda Rafar Dikehendaki Buat Permohonan Maaf & Ganti Rugi

Zulaikha Yusof
02/01/2019 23:30 MYT
Penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar dikehendaki membuat permohonan maaf dan ganti rugi kepada jururawat dalam tempoh tujuh hari.

Menerusi Facebook Deligasi Jururawat Malaysia (DON), pengendali laman terbabit telah memuat naik notis tuntutan mahkamah bertarikh 2 Januari yang telah dihantar semalam kepada penyanyi tersebut.

Dalam notis tuntutan mahkamah tersebut menyatakan Linda perlu melakukan permohonan maaf dan ganti rugi dalam tempoh tujuh hari.

Andai Linda gagal melaksanakannya, kes ini akan dilanjutkan menerusi prosiding mahkamah.

Di samping itu, DON turut mengucapkan terima kasih kepada penderma dan penyokong yang sudi membantu mereka serta berharap kejadian tersebut dapat menjadi tauladan kepada semua orang.

"Sekali lagi ingin kami ucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma dan penyokong yang sudi membantu kami mengemukakan tindakan perundangan kepada pihak berkenaan.

"Kami berharap insiden ini mampu menjadi tauladan supaya tiada lagi kes buli siber disebarkan melalui mana-mana platform media sosial dan internet," tulisnya.

DON juga mengingatkan kepada umum bahawa tindakan perundangan ini tidak sama sekali mengganggu siasatan dalaman hospital.

"Ini adalah kerana kes ini tidak berkaitan dengan kejadian yang tular di hospital yang terlibat akan tetapi lebih kepada hantaran viral di Instagram milik selebriti itu sendiri," tulisnya lagi.

Terdahulu, Linda meluahkan rasa kesal terhadap layanan buruk dari seorang jururawat yang tidak mengendahkan permintaannya untuk menukarkan cadar di katil ibunya.

Susulan pendedahan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Hak Milik Kekal itu mendapat ugutan daripada individu yang tidak dikenali untuk meracuni ibunya yang sedang sakit.


#Linda Rafar
;