Selepas mengalami keguguran pada Januari lalu, penyanyi Nubhan Ahmad, 35, mengumumkan isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfe kini hamil empat bulan.

BACA: Hamil 7 Minggu, Isteri Nubhan Alami Keguguran - "Tak Ada Rezeki Anak Ke-3"

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Haji Ahamad meluahkan rasa syukur dan teruja untuk menyambut kelahiran anak ketiga mereka.

Katanya, proses kehamilan kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana isterinya menghadapi alahan yang teruk.

"Isteri saya dah hamil empat bulan. Alhamdulillah rezeki baru, bertambah lagi ahli keluarga saya.

"Banyak alahan dia untuk proses kehamilan kali ini. Dia tak boleh bau minyak wangi, makanan yang bergoreng, bau hanyir.. dia cepat mual.

"Dia nak makan pun tak boleh sebab mulut pahit. Kalau dia makan banyak sangat 'confirm' akan muntah," katanya ketika dihubungi Gempak.

Sebelum ini, Nubhan memuat naik sekeping foto memeluk erat isteri sambil memegang pregnancy test di Instagram (IG) pada Ahad.

Dalam pada itu, Nubhan yang muncul dengan single duet Sekali Lagi bersama Siti Nordiana berkata, kedua orang anaknya sangat gembira ketika dikongsikan berita tersebut.

"Ada la kami cakap yang dalam perut ibu ada baby. Aafiyah dan Chemad okey respon diorang.

"Mereka teruja terutama sekali kakak dia sebab adik tak faham lagi. Dia selalu usap perut isteri saya, cium sambil tu dia berborak.

"Masa pergi check up pun kami bawa mereka sekali. Boleh la nampak baby dekat monitor," katanya lagi.

Untuk rekod, Nubhan dan isteri berkahwin pada 2015. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata, Aafiya Kamilia berusia empat tahun dan Ahmad Aaffan, dua tahun.