Hiburan
‘Nur Cinta’ Penutup Manis 2024 Buat Amir Masdi
Penyanyi, Amir Masdi akui terharu apabila ada sekumpulan pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Senawang membuat ‘cover song’ lagu terbaharunya, Nur Cinta.
Sebagai satu tanda penghargaan, Amir Masdi memberitahu bahawa dia telah merancang satu kejutan buat pelajar-pelajar di sekolah berkenaan.
“Pada asalnya saya kumpulkan mereka yang buat cover lagu Nur Cinta, jadi masa tengah kumpul tu saya terjumpa video pelajar sekolah di Senawang tengah berlatih mainkan muzik saya.
“Sebagai komposer dan penyanyi saya rasa terharu kerana mereka guna lagu saya sebagai satu proses pembelajaran mereka. Jadi saya rancang untuk ke sana bagi kejutan dekat mereka,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, Amir juga menyatakan rasa sangat berbangga kerana sistem pendidikan di Malaysia menggunakan lagu-lagu baharu dalam proses pembelajaran di sekolah.
Sementara itu, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi,28, tidak menafikan bahawa runut bunyi drama sensasi, Andai Tiada Dia itu menjadi penuntup manis bagi dirinya untuik tahun 2024.
“Alhamdulillah, saya tak sangka dapat sambutan yang macam ini untuk lagu Nur Cinta.
“Saya kalau cakap pasal ni rasa meremang bulu roma saya,” tambahnya.
Amir Masdi ditemui selepas malam gala tayangan filem animasi Dongeng Sang Kancil di TGV KLCC pada Isnin.