Laman Utama

Nurin Afiqah Mengaku Dikompaun RM1,500, Nafi Gunakan Anak Yatim Untuk Promosi Produk!

gempak
Zulaikha Yusof
06/05/2021
23:26 MYT
Sponsor Banner
Nurin Afiqah Mengaku Dikompaun RM1,500, Nafi Gunakan Anak Yatim Untuk Promosi Produk!
Personaliti media sosial dan pelakon baharu Nurin Afiqah tampil bersuara selepas mendiamkan diri di saat namanya menjadi sebutan susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 pada 29 April lalu.
Ketika dihubungi Gempak, Nurin mendedahkan dia sudah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 disebabkan kesalahannya tidak memakai pelitup separuh muka ketika sesi bergambar.
"Saya mengaku kesalahan saya tidak memakai pelitup muka ketika bergambar. Saya sendiri ke balai polis pada 2 Mei lalu iaitu sebelum Caprice mengeluarkan kenyataan. Saya menawarkan diri untuk dikenakan kompaun dan ya.. kompaun telah dikeluarkan sebanyak RM1,500.
"Saya terima sebab dalam undang-undang dah tertulis sekiranya melanggar SOP. Saya sebenarnya bukan sengaja nak mendiamkan diri tetapi saya perlu kumpul dulu bahan bukti. Lagipun dekat Twitter, saya dah mengaku dengan kesilapan saya," katanya.
Tambah pemilik nama Nurin Afiqah Zulkifli, segala kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi rap Caprice adalah fitnah semata.
Merujuk kepada tuduhan Caprice, dia menegaskan isu mengheret selebriti dan anak yatim ke luar dewan untuk mempromosikan produknya, Ropis tidak benar sama sekali.
"Apa yang saya nak tegaskan adalah Caprice fitnah saya. Saya hadir sebagai jemputan dan dalam masa sama, Ropis salah satu sponsor majlis tersebut.
"Sebagai sponsor kami ada bukti perbualan di aplikasi WhatsApp yang membenarkan saya membawa team untuk merekod sepanjang majlis berlangsung.
"Video dan gambar yang viral itu ketika kami sedang bergambar. Saya ada bukti bahawa selebriti yang terlibat dan anak yatim sememangnya sudah berada di luar dewan. Bukannya saya mengheret mereka ramai-ramai keluar untuk mempromosi produk saya.
"Tak akan saya tergamak untuk mempergunakan anak yatim. Saya sayang mereka. Demi Allah, saya tak sentuh anak yatim untuk buat produk review. Itu semua fitnah.
"Saya tak boleh mengaku salah dengan benda yang saya tak buat. Saya ada bukti rakaman yang boleh menceritakan situasi sebenar," kata Nurin.
Dalam pada itu, pelakon drama Wifi Sebelah Rumah mengaku pihaknya menerusi peguam sudah menghantar 'letter of demand' (LOD) kepada Caprice pada Khamis.
"Sekarang ini dah jatuh kes fitnah. Reputasi saya dah terjejas. Saya diberitahu LOD sudah sampai ke pejabat Caprice.
"Kita tunggu sama ada tuntutan yang diminta itu dituruti atau tidak. Antara tuntutannya adalah meminta Caprice menarik semula kenyataan yang dilemparkan sebelum ini.
"Namun jika gagal, saya akan teruskan dengan mengambil tindakan undang-undang selanjutnya. Caprice ada bagitau yang dia juga nak saman saya.. namun setakat hari ini, saya belum menerima apa-apa," katanya lagi.
Terdahulu, tular video dan foto memperlihatkan beberapa orang selebriti melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka dan mengabaikan penjarakkan fizikal semasa berada di majlis berbuka puasa.
Ia mula menjadi perbualan hangat netizen selepas Nurin memuat naik rakaman itu di laman Instagram (IG).
Susulan itu, pihak polis telah memanggil penganjur, wakil hotel dan selebriti termasuklah Caprice untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Menerusi IG Caprice, dia meluahkan rasa kesal dengan Nurin kerana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi membetulkan keadaan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live