Linda Rafar bakal berdepan saman selepas Deligasi Jururawat Malaysia (DON) akan mengumpul dana membantu seorang jururawat memfailkan saman selepas didakwa menjadi mangsa fitnah penyanyi berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebook (FB), DON yang juga badan bukan kerajaan (NGO) menjelaskan, pihaknya mendapati jururawat terbabit diaibkan oleh penyanyi itu melalui akaun Instagramnya.

“Linda melalui akaun Instagramnya mengatakan bahawa jururawat itu menuduh dan mengugutnya.

“Kami telah berbincang dengan pihak peguam kami dan berpendapat kes mempunyai pemberatan yang kukuh.

“Jadi kami mengumpul dana untuk membantu jururawat terbabit memulakan fail saman ke atas Linda,“ katanya.

DON dikatakan dalam proses membuka fail dakwaan sebaik dana mencukupi.

“Kes bukan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ini adalah kes individu. Ramai terkeliru.

“Ia tidak membabitkan hospital terbabit mahupun institusi kesihatan kerajaan atau badan kerajaan.

“Pendek kata, jururawat terbabit dituduh mengugut Linda sehinggakan dia sendiri menerima pelbagai jenis ancaman daripada peminat Linda melalui sistem pesanan ringkas (SMS),” tulis kenyataan itu.

DON mengumpul dana agar kos tuntutan undang-undang insiden fitnah seperti itu tidak berlaku di masa depan.

Dalam laporan sebelum ini, Linda membalas komen penyanyi Azza Elite yang memintanya bersabar dan banyakkan berdoa mengenai insiden berlaku dengan berkata:“Sekarang saya seorang dihina dan dikutuk oleh persatuan jururawat seluruh Malaysia".

Menerusi komen terbabit, Linda turut mendakwa kenyataan yang diberikan sebelum ini telah dimanipulasikan.

"Saya tidak menyatakan semua jururawat. Mereka memanipulasikan kenyataan saya.

"Ramai lagi rakyat yang teraniaya. Mereka tiada peluang untuk bersuara,” tulis Linda.

Anggota kumpulan Elite itu juga mendakwa terdapat kumpulan jururawat sedang mengumpul dana untuk menyamannya.

"Terdapat kumpulan jururawat yang mengumpul dana untuk saman dan menuduh saya yang ugut mereka.

"Allahuakbar. Allah Maha Adil. Jika bukan di dunia, akhirat menanti kebenaran," tulisnya.

Terdahulu, Linda Rafar meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di hospital di Shah Alam tempat ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73, dirawat.

Linda berkata, permintaan untuk membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari 3 pagi hingga 1.30 petang Khamis.

Status yang dimuat naik di Instagram Story miliknya itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas pengikut serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber: Harian Metro