Penyanyi genit Ayda Jebat mahu peminat mendengar dan menilai sendiri lagu balada terbaru nyanyiannya.

"Sebelum ini, saya sudah muncul dengan tiga single rancak iaitu Siapa Diriku, Pencuri Hati dan Nakal Nakal Nakal. Ada segelintir pihak pernah mempertikaikan kebolehan vokal saya dan mengatakan saya menggunakan suara mesin.

"Ada juga mendakwa saya tak boleh menyanyikan lagu berirama balada. Saya tidak terkesan dengan kritikan tersebut.

"Kini, saya telah muncul dengan lagu balada. Saya harap usaha terbaru saya mendapat sambutan. Peminat harus mendengar dan menilai sendiri lagu ini," kata Ayda kepada Astro Gempak.

Menerusi lagu balada berjudul Pinjamkan Hatiku, Ayda berduet bersama vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo. Single ini merupakan lagu runut bunyi bagi filem Pinjamkan Hatiku yang bakal menjengah pawagam pada 30 November.

"Sebelum saya bergelar penyanyi dan menyertai Akademi Fantasia, saya sering menyanyikan lagu balada jika ada pertandingan atau undangan persembahan.

"Sebelum merakamkan single pertama, Siapa Diriku, saya rasa ragu-ragu. Boleh ke saya menyanyikan lagu rancak? Tapi selepas rakaman dan lagu itu dipasarkan, syukur kerana penerimaan orang ramai sangat positif.

"Hari berganti hari, saya mengikut peredaran zaman dan tiada peluang untuk saya tampil dengan lagu balada. Akhirnya saya merakamkan lagu ini dan kerinduan saya untuk menyanyikan lagu irama balada terubat," katanya lagi.

Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali merupakan filem sulung Ayda yang menggandingkan dirinya bersama Shaheizy Sam, Farid Kamil dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @aydajebat