Nyanyi Lagu Siti, Syafeek Ikhwan Juara Dunia i-Sing World Di Paris

Amri Hassan
September 24, 2018 15:37 MYT
Penyanyi Syafeek Ikhwan, 30, menjuarai pertandingan nyanyian i-Sing World 2018 kategori solo di Paris, Perancis semalam.
Syafeek yang menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kau Kekasihku menerima RM10,333.50 (AS$2,500), trofi dan tiket penerbangan ke Sepanyol untuk membuat persembahan di pentas akhir i-Sing World 2019.
Syafeek yang pernah menjadi juara Pujaan RTM 2015 berjaya menewaskan 44 peserta dari seluruh dunia.
Menerusi laman instagramnya Syafeek menyatakan bahawa dia merasa sebak apabila lagu Negaraku berkumandang di Novotel Paris Centre Tour Eiffel dan berterima kasih dengan sokongan penuh yang diberikan kepadanya sepanjang pertandingan itu.
"Dengan izin Allah, berkat doa semua, ini saja yang mampu saya hadiahkan untuk negara.
"Hanya Allah yang tahu sebak dalam hati saat berkumandang lagu Negaraku di dalam dewan yang sarat dengan warga dari pelbagai negara, di tengah Kota Cinta.
"Terima kasih untuk kata-kata semangat yang diberikan. Terima kasih untuk sumbangan. Terima kasih untuk segalanya.
"Ini untuk Malaysia walau mungkin tidak seberapa, daripada insan yang hampir tidak disedari kelibatnya," tulisnya.
Naib juara bagi kategori solo telah dimenangi oleh peserta dari Ukraine iaitu Tentiana Ihnatenko dan tempat ketiga dibawa pulang oleh peserta dari Spain.
#Juara #i-Sing World 2018 #Paris #Syafeek Ikhwan