Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengakui tiada niat mengecewakan peminatnya yang hadir pada Konsert Terunggul Afgan & Ungu apabila memilih untuk menyanyikan kebanyakkan lagu barunya.

Menurut Afgan, perkara tersebut dilakukan supaya dia dapat menampilkan kelainan dalam persembahannya pada kali ini.

"Kebanyakkan lagu pada malam ini majoritinya lagu baru dan saya sengaja lakukan begitu kerana mahu memberi sesuatu yang baru kepada peminat di Malaysia.

"Kesemua lagu itu saya yang pilih dan secara tidak langsung saya dapat memperkenalkan lagu tersebut kepada peminat yang hadir.

"Kebanyakan lagu yang dinyanyikan dipetik daripada album baharu yang akan dilancarakan tidak lama lagi.

"Saya juga berpuas hati dengan persembahan pada malam ini dan ingin berterima kasih kepada semua yang hadir kerana aura yang ditunjukkan oleh mereka amat luar biasa sekali," katanya kepada Astro Gempak.

Afgan berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Terunggul Afgan & Ungu, di Stadium Melawati, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada konsert tersebut, Afgan telah menyampaikan lagu Rollercoaster, Pesan Cinta, Katakan Tidak, Jalan Terus, Kunci Hati, Bawalah Cintaku, X, Dia Dia Dia, Knock Me Out, Inilah Masanya dan Terima Kasih Cinta.

Lebih 5,000 peminat yang hadir pada konsert itu terpukau dengan persembahan bertenaga daripada kedua-dua artis hebat ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi