Viral
Nyanyian Melolong Kaw-Kaw Kena Hentam, Alasan Nuha Sebab Terlalu Nervous - "Tapi Ada Anggap Saya Berpotensi"
Tular di media sosial apabila nyanyian seorang gadis yang terkenal melalui nyanyiannya di YouTube, Nuha Bahrin dalam sebuah rancangan hiburan tempatan baru-baru ini menjadi buah mulut netizen.
Bukan kerana komen positif, namun nyanyian yang disifatkan melolong umpama dirasuk itu dikatakan netizen tidak sedap didengar.
Sedih dengan kritikan pedas netizen, Nuha mengaku berlaku kesilapan ketika persembahan terbabit disebabkan terlalu gemuruh.
"Ya, saya bersetuju dengan komen dan kata-kata netizen mengenai persembahan saya. Sejujurnya, ia bukan persembahan yang terbaik yang telah saya berikan.
"Ketika sesi latihan saya sudah lakukan dengan betul tapi apabila tiba masanya, saya terlampau gementar sehingga membuat persembahan secara berlebih-lebihan.
"Sebagai manusia biasa, sudah tentu saya sedih membaca komen negatif tapi saya terima semuanya sebab memang apa yang mereka katakan itu betul," katanya.
Menerusi klip video yang tular itu, Nuha dari kategori penyanyi amatur menyampaikan lagu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah iaitu Kekasih Awal & Akhir selain berduet dengan Tomok menerusi lagu Di Matamu (Sufian Suhaimi).
Nuha tidak patah semangat, katanya segala kritikan itu sebagai pembakar semangat dan sebahagian daripada prosesnya untuk belajar untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Pada masa sama, Nuha bersyukur masih punyai peminat yang memberikan kata-kata positif kepadanya.
"Segala kritikan dan komen itu saya ambil secara positif... saya ambil sebagai pembelajaran, nasihat dan pembakar semangat untuk lakukan yang lebih baik selepas ini.
"Saya akan sentiasa belajar dan teruskan berlatih lagi. Perbaiki kelemahan saya dan buat yang terbaik lepas ini. Saya juga belajar untuk jaga emosi.
"Apa-apa pun, Alhamdulillah... saya sangat bersyukur masih ada peminat yang menyokong saya. Ada yang menganggap saya mempunyai potensi dalam industri," ujarnya.
Sekitar Disember 2019, video Nuha menyanyikan lagu Hurt (Christina Aguilera) yang dimuat naik di laman sosialnya mendapat perhatian penyanyi asalnya sendiri.
Kudos Nuha!