ASTRO GEMPAK ARTICLE

Oasis Terkejut Peminat Maut Jatuh Dari Aras 2 Stadium Sewaktu Konsert

04/08/2025 | 21:01 MYT
Seorang peminat kumpulan Oasis dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh daripada aras dua Stadium Wembley di London pada Sabtu lalu.

Insiden terjadi sewaktu lelaki dalam lingkungan usia 40-an mengalami kecederaan teruk selepas terjatuh daripada aras dua stadium sekitar pukul 10.19 malam waktu tempatan, lapor BBC.

Mangsa yang identitinya tidak didedahkan telah mendapat rawatan serta merta daripada paramedik namun diumumkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Oasis yang diasaskan dua beradik Noel dan Liam Gallagher menerusi kenyataan yang dikeluarkan berduka cita dan terkejut dengan insiden yang terjadi.

“Kami sangat terkejut dan ikut berduka cita terhadap insiden yang terjadi. Takziah buat keluarga dan mereka yang ditinggalkan mangsa,” ujar kenyataan tersebut.

Pihak berkuasa tempatan percaya insiden tersebut sempat dirakam oleh peminat lain dan meminta saksi yang mempunyai bukti sewaktu kejadian tampil membantu.

Konsert reunion Oasis Live '25 selepas 16 tahun ‘berpisah’ di Stadium Wembley dihadiri sekitar 90, 000 penonton. Konsert di Wembley merupakan salah satu daripada tujuh lokasi dengan kesemua tiket terjual habis.