Berita
Oh My Family! Musim Baharu Tampil Bintang Indonesia
Program realiti Oh My Family! musim kedua muncul dengan pembaharuan apabila menampilkan pasangan selebriti terkenal Indonesia, Ussy Sulistiawaty dan Andhika Pratama.
Selain itu ia turut menampilkan lima keluarga selebriti lain seperti Nabil Ahmad, Black Hanifah, Shuib Sepahtu, Sharifah Shahirah.
Penolong Naib Presiden Gen Next Astro Razin Irawati Johar berkata, kelainan itu dibawakan untuk menarik minat penonton Indonesia.
“Kehadiran selebriti Indonesia kali ini amat bermakna sekali buat Oh My Family!
“Ia menunjukkan program ini telah mula meraih kepercayaan dan perhatian daripada pihak luar.
“Kami yakin, konsep serta mesej yang dibawakan oleh program ini merupakan faktor utama yang menjadi tarikan penonton, selain daripada barisan keluarga selerbiti yang terlibat.
“Dengan sokongan yang berterusan daripada semua pihak, tidak mustahil suatu hari nanti program ini berjaya menempa kejayaan di pasaran antarabangsa,” katanya.
Setiap keluarga selebriti di Oh My Family! itu diberi tugasan yang tertumpu kepada skill kemahiran hidup yang dilakukan menerusi aktiviti luar seperti menanam dan menampi padi, berkhemah di hutan, memproses ikan masin, menangkap ikan, menyumpit dan meredah hutan.
Sementara itu, Ussy dan Andhika berkata Oh My Family! memberi pengalaman baharu buat anak mereka Shakerla Eleanor Ameera, 6.
“Sebenarnya kami agak bimbang juga hendak menerima tawaran ini kerana Eleanor seorang pembersih dan tidak suka aktiviti kotor dan lasak.
“Namun selepas melakukan semua tugasan itu, saya lihat dia enjoy walaupun perlu mencuci najis gajah dan mencuci binatang itu,” katanya.
Oh My Family yang mempunyai lapan episod ini bakal mula bersiaran pada 10 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611) pada setiap Rabu jam 9 malam.
Must-Watch Video