Pelakon Octovia Manrose sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak Melaka United, Mohamad Khairul Esfan Mdisa.

Oktovia dan Khairul Esfan disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Magica Quill Ballroom, Quill City Mall sekitar pukul 9.30 malam, Selasa.

Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan yang juga penyanyi dangdut popular, Iwan Syahman disaksikan jurunikah, Ustaz Mohamad Fairuz Saderi.

Pada majlis bertemakan dalam taman itu, Khairul Efsan menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 kepada Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia.

Selain itu, Oktovia turut menerima lima dulang hantaran berbalas tiga daripada pihak pengantin lelaki dan wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya.

Majlis yang diadakan bertemakan taman itu dihadiri kira-kira 250 orang tetamu mengikuti prosedur operasi standard SOP.

Hari bahagia Oktovia dan Khairul Esfan turut dimeriahkan dengan nyanyian daripada Iwan dan penyanyi Datuk Nash.

Rakan selebriti yang turut hadir meraikan Oktovia dan Khairul Esfan ialah Uqasha Senrose, Kamal Adli, Nelydia Senrose, Aprena Manrose, Emma Maembong, Raysya Rizrose dan Lufya.

Oktovia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Izat Abdul Rahman pada 2011 namun bercerai empat tahun selepas itu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia 10 tahun.