Olimpik Paris 2024 Gagal? Hamidin Minta Semua Pihak Berpijak Di Bumi Nyata
Gempak
13/08/2024 05:25 MYT
13/08/2024 05:25 MYT
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta semua pihak berpijak di bumi nyata susulan wujud persepsi bahawa kontinjen Malaysia gagal pada temasya sukan terbesar dunia kali ini.
Tegas beliau, sebahagian besar atlet yang mewakili negara telah menunjukkan peningkatan dari segi rekod dan prestasi termasuk dalam acara badminton dan angkat berat.
Sehubungan itu, beliau secara peribadi berpendapat, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada beberapa sukan yang berpotensi untuk membutirkan pingat termasuk emas pada temasya Olimpik di Los Angeles pada 2028.
"Kita perlu berpijak di bumi nyata kerana saya bagi contoh, bagi badminton tak ada pun dalam pemain badminton kita menduduki ranking nombor satu atau dua dunia.
“Mereka berada di ranking nombor 12 dan sembilan tetapi mereka telah melepasi lebih daripada prestasi sebelum Olimpik.
"Jadi kita kena lihat itu semua. Kalau katakan mereka ini pemain ranking nombor satu dunia dan mereka tak dapat emas, itu lain kerana kita berusaha untuk ke arah tersebut," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Selasa.
Sebelum itu, Hamidin yang mengetuai kontinjen dan delegasi Malaysia ke Olimpik Paris tiba di tanah air sekitar jam 9 pagi bersama beberapa pegawai lain.
Mengambil contoh Indonesia yang memperoleh emas dalam acara panjat tebing, Hamidin menegaskan, selain memberi tumpuan kepada acara berpotensi, semua pihak termasuk persatuan dan para atlet perlu berusaha dari sekarang untuk mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik akan datang.
"Kalau tanya saya secara peribadi selaku CDM, semua pihak termasuk menteri mahukan pingat emas. Jadi kalau tanya saya, dendam itu membara dekat LA (Los Angeles). Kita kena berusaha dari sekarang kerana Olimpik ini tempat dunia atau ranking (pemain) nombor satu dunia dan pertandingan elit.
"Ia memerlukan pengorbanan, bukan hanya kerajaan atau persatuan tetapi juga atlet," ujarnya.
Mengenai keputusan Datuk Azizulhasni Awang untuk bersara pula, Hamidin berkata jaguh berbasikal trek negara itu mungkin boleh menggunakan pengalamannya untuk berbakti sebagai jurulatih atau penasihat.
Malah, beliau percaya Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom mampu meneruskan kecemerlangan yang dipamerkan 'The Pocket Rocket Man' pada Sukan Olimpik di Los Angeles pada 2028 kelak.
Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.
Sumber - Awani