Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

One Cent Thief: Pertembungan ‘Kuasa Jahat’ Sofia Jane & 'Genius Hacker' Syafiq Kyle

Maliah Surip
29/10/2022 01:55 MYT
Ada keterujaan yang bersinar terang dalam bola mata kedua orang pesohor seni yang mengisi edisi G The Untold Story ini.

Seorang aktres wanita dengan segudang prestasi dan aktor lelakinya perlahan lahan mendaki tangga kualiti dan kini semakin disegani.

Menyebut saja sepotong nama Sofia Jane, baik karyawan seni, media massa mahu pun khalayak akan pantas terpesona dengan senyum mekar dan wajah cantik wanita yang disifatkan banyak peminatnya sebagai ‘vampire’ lantaran tidak dimamah usia.



Lewat belantika seni yang menjadi kecintaannya, kredibiliti Sofia masih dalam piawaian yang baik meski beliau hanya sesekali mempamer bakat kebelakangan ini.

Sama seperti yang dipamerkan beliau lewat naskhah hebat yang dicipta dan ditulis Alfie Palermo, One Cent Thief, roh Ibu Zara, karakter yang dimainkan Sofia kelihatan begitu meyakinkan dan cemerlang.

Apa lagi ‘ikan bilis’ yang menjadi mangsa kerakusan Ibu Zara adalah Iman Shah, lakonan yang cukup mantap dihadirkan oleh si pencuri hati, Syafiq Kyle.

Syafiq Kyle sebagai Iman Shah pekerja bank yang naif menggunakan otak geniusnya untuk menggodam sistem perbankan hanya untuk mencuri 1 sen yang mungkin pada masa kini sudah tidak dipandang nilai, menjalankan kerja lakonannya dengan penuh dedikasi ; dan sejak episod pertama sehingga kini, Syafiq berjaya membawa isu ‘bermula segala kejahatan’ dengan penuh debaran.

Sofia dan Syafiq berbicara mengenai drama premium One Cent Thief (Pencuri Satu Sen) yang diinspirasikan dari kisah benar serta buah fikiran mereka tentang dunia hiburan dan generasi Z kepada G The Untold Story.

G The Untold Story: Hi Syafiq, boleh kongsikan bagaimana anda bersetuju untuk terbabit dalam One Cent Thief yang semakin menjadi bualan hangat sekarang ini. Peminat memberi respons cukup positif terhadap naskhah ini. Adakah anda bangga menjadi Iman Shah si penggodam yang terperangkap kerana kebijaksaan diri?

SYAFIQ KYLE: Saya sudah dilamar Alfie untuk bermain dalam naskhah ini sejak tahun lepas. Katanya ia tentang cerita pencuri satu sen tapi semuanya masih belum sempurna. Ini sesuatu yang baru untuk saya, sebab sudah banyak bawa drama yang ringan dan cintan cintun.

Saya buat video casting semata mata untuk sempurnakan semuanya dan saya terima tawaran tanpa solid skrip sehingga episod lapan.



Saya sebenarnya goyang baca skrip cerita ini. Sebab saya tak sangka ia sebuah naskhah aksi. Saya ingat saya pekerja bank yang duduk dalam bank dan sekadar menggodam dan tipu orang. Tapi ada elemen yang berbeza, ada aksi, ada thriller, isu, memang gila. Susah nak dapat skrip macam ini di Malaysia, apa lagi untuk ditayangkan di televisyen.

Saya boleh cakap nak dapat skrip macam ini tiga hingga empat tahun sekali pun susah. Jadi saya tak mahu lepaskan peluang terbabit dari siri Astro Original ini dan tolak benda lain untuk habiskan projek ini.

Jadi apabila naskhah dan watak saya disukai, ia adalah sebuah kejayaan dari seluruh tenaga kerja dan barisan pelakon lain juga.

Penggodam atau perompak, mana pilihan Syafiq?

G The Untold Story: Mana lagi susah jadi penggodam atau perompak? Menekan papan kekunci curi satu sen atau menembak?



SYAFIQ KYLE: Jadi hacker lagi susah sebab untuk menggodam kita perlu betul betul pandai. Kita kena tahu selok belok, menipu, pandai berlakon, pandai buat buat tak tahu. Jadi hacker memang sangat mencabar. Dan merompak satu bank, walau hanya ambil satu sen dari setiap akaun di bank.

Saya rasa cool jadi hacker sebenarnya, tapi tidak akan berani buat jenayah macam ini. Misalnya kalau saya kerja bank, saya tahu bank akan biarkan saja saya ambil satu sen dengan menggodam, tapi akan dipantau terus sehingga satu masa saya tetap akan tertangkap.

Berbanding penjenayah, rompak dan dapat, kemudian chow misalnya, barulah diburu pihak berkuasa. Jadi sebenarnya persiapan menjadi hacker ini saya rasa lebih banyak dari penjenayah.

G The Untold Story: Apa ilmu yang anda dapat dalam pembabitan One Cent Thief biarpun ia hanya ditayangkan sebanyak lapan episod?

SYAFIQ KYLE: Saya belajar banyak terutama isu bank. Banyak rahsia yang dikongsi bersama saya. Saya perlu tahu benda ini, (kerahasiaan) biarpun berlakon. Misalnya kenapa sistem tidak berfungsi, adakah sebab kena godam atau ia memangbenar benar tidak berfungsi. Dan kenapa out of service. Semua itu saya perlu tahu supaya lakonan tidak kosong. Tapi serius saya sangat enjoy terima ilmu baharu ini.

G The Untold Story: One Cent Thief ditaburi banyak bintang gred A. Ada Sofia Jane, Faizal Hussein malah Amirul Affendy. Bagaimana pengalaman ‘bermain’ dengan mereka?

SYAFIQ KYLE: Ya, semua aktor dan aktres hebat ada dalam naskhah ini seperti Sofia Jane dengan Ibu Zara, Faizal Hussein sebagai Ayah dan Amirul Affendy atau Kadak.

Kadak paling banyak babak dengan saya. Saya sudah tepuk kepala bila tahu ada Amirul Affendy, bukan tak suka, tapi sebab dia Amirul Affendy.

Amirul sangat baik, dia pun susah nak dapat watak side kick yang macam tu. Dia banyak ajar saya dari segi persepsi dan dua minggu kami buat preparation, cara berjalan, duduk, bercakap, dia banyak ilmu tentang itu, jadi saya ambil semua ilmu itu. Dan di set kami grow saya beruntung dapat bekerja dengan orang hebat dan mahu bekerja dengan saya.

G The Untold Story: One Cent Thief mungkin memberi banyak persepsi kepada penonton. Ia mungkin boleh dijadikan rujukan untuk melakukan jenayah. Tapi dari sisi lain sebenarnya apa yang anda mahu hasil dari naskhah ini kepada masyarakat?



SYAFIQ KYLE: Secara peribadi, jika saya penonton, saya mahu tahu perjalanan seseorang, dengan apa yang dibuat, sama seperti apa yang Kak Sofia katakan.

Sebagai Iman, saya banyak belajar dengan Iman, pasal duit, perspektif kita tentang adakah duit segala galanya atau bukan. Atau adalah kesempitan dan duit adalah permulaan kepada semua kejahatan.

Penonton akan dapat banyak pengajaran jika ikut sehingga akhir. Dengan Ibu Zara, Abah, banyak watak jahat, macam macam. Setiap sesuatu terasa sangat realiti. Produksi membina bank sendiri malah sekecil buku dan pen juga dihasilkan sendiri. Saya cukup salute dan berterima kasih kepada semua pekerja.

G The Untold Story: Kemunculan One Cent Thief mungkin kebetulan dengan semaraknya isu scammer dalam talian. Anda rasa, adakah scammer ini berkait dengan ‘orang dalam’, sama seperti seorang hacker menggodam sistem?

SYAFIQ KYLE: Scammer pada saya penuh dengan tipu helah. Jujurnya saya tidak pandai ke arah ini tapi saya percaya scam berkait dengan orang dalam dari segi data seseorang misalnya. Tapi kita tak boleh menuduh.

Sofia Jane, Bayaran Lumayan Bukan Sebab Utama Berlakon, Tapi…




G The Untold Story: Misalnya perkara seperti terdesak dalam kehidupan, benar benar kesempitan wang terjadi dalam hidup anda, apakah anda akan bertindak di luar kewarasan seperti Iman atau penjenayah lainnya?

SOFIA JANE: Bila terdesak kita tidak fikir sudah apa yang akan dihadapi pada masa depan. Misalnya terdesak mencuri susu. Anda ingat mereka mahu lakukan itu? Dan kita tidak pernah tahu apa yang menjentik seseorang untuk membunuh, mencuri misalnya? Inilah yang menariknya tentang psikologi manusia.

Kita hanya manusia biasa, misalnya saya dalam keadaan yang sangat terdesak, mati mati saya mahukan duit itu, saya juga mungkin akan merompak sebuah rumah? Tapi kita tahu apa yang menanti kita di hadapan kan. Sebab pada waktu kita melakukannya, sebagai manusia biasa, kita mungkin sudah tidak waras kerana terdesak.

Ini human condition to survive, no black and white or good or bad, it is what it is.

G The Untold Story: Jika produksi memberi watak Iman atau hacker kepada anda, adakah anda akan terima. Dan kenapa bersetuju memainkan watak Ibu Zara; seorang kepala gangster?

SOFIA JANE: Jika dapat watak Iman tentu saya akan tolak kerana faktor usia dan saya melihat karakter Ibu Zara sangat bersesuaian dengan fasa saya sekarang. Naskhah ini sangat intrik dan saya gembira untuk terlibat di dalamnya kerana ia belum pernah dihasilkan sebelum ini.



Ada dominan karakter yang dimainkan oleh seorang wanita, ini sangat jarang terjadi. Dan saya boleh bermain dengan karakter ini.

Ibu Zara bukan sekadar apa yang dilihat sebagai kepala gangster atau mafia misalnya. Tapi perjalanan menjadi Ibu Zara itulah yang membuat saya tertarik untuk memainkan peranan ini.

Tentang kehidupan masa silam misalnya, ia relevan dengan apa yang terjadi dalam negara tentang korupsi dan semua orang di dunia tersekat dalam dilema yang sama. Saya juga sangat menyukai tulisan Alfie dan selalu ingin bekerja dengan dia.

G The Untold Story: Ekspektasi peminat pada karakter Ibu Zara?

SOFIA JANE: Pertama kali baca diskrispsi Ibu Zara, saya memahami dan tertarik tentang proses seorang pelakon mendapatkan roh Ibu Zara, misalnya macam mana dia boleh mendominasi dunia lelaki.

Saya sukakan proses kenapa Ibu Zara begini, dibesarkan dalam rumah pelacur, mungkin dijual semasa kecil, kita bercakap tentang pemerdagangan manusia juga sebenarnya, tentang sisi gelap dunia dan dari konteks kemanusiaan, ini yang menarik minat saya.

Ada manusia yang melakukan hal hal seperti ini, jijik. Tapi manusia melakukan sesuatu untuk kelangsungan hidup. Kita tak tahu, apa lagi ia membabitkan duit. Inilah yang saya suka tentang Ibu Zara, proses siapa dia dahulu, sehingga dia menjadi Ibu Zara yang sekarang.

G The Untold Story: Bila bercakap tentang dunia gelap, di luar konteks pelakon, sebagai seorang ibu dan perempuan, anda takut?

SOFIA JANE: Sebagai rakyat Malaysia dan ibu, cerita begini tidak akan pernah habis. Saya tak boleh imagine sebagai ibu dan bapa bagaimana ini terjadi, inilah...

Orang cakap cerita ini tentang gangsterlah, misalnya, tapi inilah refleksi sebenar bagaimana seseorang yang terdesak akan melakukan sesuatu.

Sebagai manusia, kita selalu ingin tahu apa yang ada dalam otak orang lain sehingga mampu melakukan sesuatu yang drastik. Jadi saya, saya takut. Saya takut bukan sebagai ibu sahaja atau untuk anak saya, tapi untuk semua.

Betapa mudah kita terpedaya dengan duit, tanpa kita sedar yang kita boleh membawa kehancuran besar dalam kehidupan. Ini yang saya maksudkan dengan duit yang ditaburkan sewenang wenangnya dan menjadi perangkap yang mudah untuk orang.

Kita tahu semua isu macam cuci duit benar benar berlaku. Dan pihak berkuasa pun tidak mudah menumpaskan mereka apabila penjenayah ini mempunyai kuasa yang sangat besar juga dengan hanya memberi duit sebagai makanan. Jadi isu ini tidak akan berkesudahan.

Kita boleh benci mereka tapi dalam masa yang sama akan ada empati sebab kita manusia biasa.

G The Untold Story: Mungkin banyak produksi berasa takut untuk lamar anda kerana berasa aura Sofia Jane terlalu besar. Jadi rasa ingin menggunakan khidmat anda itu macaam terlalu kerdil. Tapi sebenarnya apa tips untuk buat anda jatuh cinta terbabit dalam sesebuah naskhah?

SOFIA JANE: Inilah yang saya rasakan bila kena bekerja dengan Datin Rubiah Suparman atau Allahyarham Azean Irdawaty bila saya awal berlakon. Saya rasa kerdil dan mereka punya aura yang cukup besar.

Namun apa yang mengejutkan, saya menerima layanan yang sangat baik dari para legenda ini.

Inilah situasi yang sama buat saya sekarang apabila berkolaborasi dengan ‘darah baharu’ dengan naskhah yang yang baik seperti. Mereka sangat menjaga saya dengan baik dan bersabar. Kena kekal berdisplin dan bekerja sebaik mungkin, saya ambil pendekatan ini.

G The Untold Story: Adakah bayaran memainkan peranan penting untuk anda bersetuju terbabit dalam sesebuah naskhah? Misalnya ada naskhah yang bagus, tapi bayaran tidak minimum dengan nilai seorang Sofia Jane?

SOFIA JANE: Saya tidak peduli tentang bayaran bila saya suka untuk terbabit dalam naskhah tersebut.

Saya akan bekerja dan cuba mengikut bajet yang telah ditetapkan oleh produksi. Ya, memang ada produksi yang datang kepada saya dengan bajet yang rendah dan takut untuk melamar saya. Tapi apabila saya suka, saya okay, saya akan bekerja dengan bajet yang diberikan.

Bayarlah berapa yang produksi mampu bayar saya. Ia (bayaran) bukan masalah besar untuk saya. Saya bukan riak ya, maaf, kerana mungkin kehidupan saya sedikit bernasib baik dari yang lain, jadi saya boleh memilih apa yang saya mahu.

Tapi tidak semua pelaku seni boleh melakukan ini. Sebab itu saya katakan industri perlu menetapkan sekurangnya harga minimum untuk seorang pelakon atau pekerja belakang tabir supaya ia tidak jatuh dalam kategori ‘aku perlu atau terpaksa ambil kerja ini kerana perlukan duit ataupun akan diambil oleh orang lain’.

TikTok untuk cari resipi

G The Untold Story: Situasi sekarang berbeza dengan zaman dahulu apabila seseorang perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang. Mungkin ada pesanan buat generasi masa kini untuk memastikan punya karier dan kehidupan yang baik sehingga tua?

SOFIA JANE: Untuk anak muda, pergilah sekolah, dapatkan ilmu. Tapi dalam masa yang sama nak jadi pelakon atau tukang kayu ke, pergi. Tapi ilmu dan skil yang mahal ada dalam diri anda, ia akan membuatkan anda bernilai. Ia kerana skil yang ada pada anda.

Misalnya sekarang, generasi muda senang mendapatkan duit dengan bermain TikTok.

Saya tengok TikTok untuk cari resipi misalnya, saya lebih banyak di Twitter kerana senang mendapatkan bahan berita.

Saya selalu tanya anak anak saya dengan dunia media sosial, apa yang mereka kejar? Fame, duit? Apa istimewanya mereka berbanding yang lain? Satu hari nanti ia akan hilang kerana tiada skil.

Tapi anak saya kata buat TikTok pun susah. Kena ada kerja keras. Kita kena jadi istimewa, ada skil. Jadi apa yang istimewa tentang anda berbanding orang lain?

Kadang saya tak faham tengok influencer yang bangun pagi dan cakap hello sahaja tapi punya ratusan ribu pengikut. Itu saja dan anda suka?

Ia buat saya terfikir untuk buat eksperimen jika saya buka akaun TikTok, adakah saya akan menarik banyak pengikut juga? Tapi apa yang cuba saya sampaikan kepada dunia?

G The Untold Story: Sofia Jane sebagai pemain industri seni, adakah anda rasa anda istimewa?

SOFIA JANE: Saya tidak rasa saya istimewa, tapi saya percaya kerja keras yang saya letak dalam setiap kerja sama dan pembelajaran yang saya ambil dalam setiap pekerjaan, mungkin itulah sebabnya saya masih diperlukan. Mungkin skil saya atau apa, saya juga tidak menemuinya.

Jadi saya rasa kerja keras yang selalu membawa saya kekal di sini. Bukan sebab kecantikan sebab ia satu hari akan pudar, tapi adalah tentang kerja keras dan keinginan terus belajar biar sudah berusia.



G The Untold Story: Satu sebab kenapa penonton perlu tengok One Cent Thief sehingga habis keseluruhan episod?

SOFIA JANE: Ini adalah naskhah yang berani dari sebuah produksi. Ini bukan cerita tentang Aman Shah kalau begitu orang rasa. Ia bukan base on true event. Tapi diinspirasikan darinya, iya.

Untuk Iman, satu demi satu masalah datang dan suka atau tidak, perlu diselesaikan.
Saya melihat Iman dalam One Cent Thief sebagai ‘mangsa’ apabila sebenarnya dia hanya mahu membantu bapanya tetapi ia menjadi sebuah jenayah yang besar dan malang sekali terbabit serta perlu berhadapan dengan orang seperti saya (Ibu Zara).

Dan sebenarnya benda sebegini atau scammer misalnya memang terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Buka dan bacalah surat khabar, berlambak kita akan jumpa berita tentang orang kena scam puluhan ribu duit misalnya dan kita mungkin rasa kenapa bodoh sangat?

Ironi kesunyian akan selalu membawa kita kepada menjadi mangsa mereka yang tahu bagaimana untuk memainkan peranan terhadap kita.

Jangan lupa saksikan One Cent Thief, setiap Sabtu, jam 9 malam!


One Cent Thief dibintangi oleh Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Azira Shafinaz, Sofia Jane, Amerul Affendi, Fabian Loo, Aghonderan Sahadevan, Carmen Soo, Sathisvaran Magesvaaran, Rubi Rubini, Amir Nafis, Fadhli Masoot, Zain Hamid, Aleza Shadan, Syed Irfan dan Airiezara Jasmin.

Buat pertama kalinya drama premium di bawah jenama Astro Originals akan ditayangkan serentak di empat saluran berbeza bahasa iaitu Astro Ria HD (saluran 104), Astro Vinmeen HD (saluran 202), Astro Shuang Xing De (saluran 307) dan PRIMEtime (saluran 704).

Penonton juga berpeluang menonton setiap episod baharu seminggu lebih awal daripada tayangannya di saluran linear setiap Sabtu jam 12 tengah malam menerusi strim di platform Astro Go atau On Demand.

Strim di Astro dengan Pek Premium 1 hanya RM99.90 (untuk 6 bulan). WhatsApp “Nak Astro” ke 03-95433838.

#AstroOriginals #OneCentThief #PekPremium1

#Viral #Syafiq Kyle #Pencuri #Amerul Affendi #Astro Originals #Sofia Jane #One Cent Thief #Hacker #Iman Shah
;