Laman Utama
One Republic Rindu Kunjungi Asia
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu semestinya memberi kesan terhadap pelbagai sektor pekerjaan, tidak ketinggalan dunia hiburan.
Bagi penghibur atau mana-mana artis, semestinya mereka mengharapkan kehidupan normal kembali agar dapat membuat persembahan dan berinteraksi bersama peminat seperti sedia kala.
Perkara itu turut dirasai oleh kumpulan popular antarabangsa, One Republic yang merindui kunjungan ke Asia untuk melakukan konsert jelajah mereka.
Gempak berkesempatan menyertai sidang media secara virtual bersama vokalisnya, Ryan Tedder bagi mempromosikan album terbaru mereka berjudul Human baru-baru ini.
Bagi Ryan, Asia merupakan tempat yang sangat istimewa untuk dirinya dan anggota One Republic lain iaitu Zach Filkins dan Drew Brown (gitar), Brentz Kutzle (bass dan cello), Eddie Fisher (dram) dan Brian Willet (keyboard).
"Asia merupakan lokasi yang sangat istimewa untuk kami, ia sangat menakjubkan.
"Kepuasan yang kami rasa di rantau ini memang berbeza, sangat puas hati apabila beraksi untuk peminat di sana.
"Antara tempat yang kami ingin kembali untuk konsert adalah Ho Chi Minh, Vietnam, namun sebenarnya kamin tak kisah dimana-manapun," katanya.
Album Human yang bakal dilancarkan dapat dijadikan pelepas rindu buat peminat selepas lima tahun kumpulan ini berehat.
Apa yang pasti, kumpulan ini begitu teliti dalam pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam album tersebut.
"Sejujurnya, kami banyak kali menukar lagu yang benar-benar mahu dimuatkan dalam album ini.
"Selalunya ada sahaja lagu baru yang dihasilkan dan kami fikir tak mahu ianya diketepikan," katanya.
Antara lagu yang sudah pasti dimuatkan dalam album Human adalah Run, Rescue Me, Wanted, Better Days dan Didn't I.
One Republic kini sedang sibuk mempromosikan Run, sama-sama kita nantikan kemunculan album mereka!
Must-Watch Video