Laman Utama
Ooops! Kantoi Jari Dah Ada Inai…Spekulasi Neelofa Berkahwin Minggu Ini Betul?
Fiza Kamarudin
25/03/2021
|
05:25 MYT
Di saat peminat sedang berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan Neelofa dan pasangannya PU Hariz, tular sepotong video yang menunjukkan jari usahawan ini sudah dihiasi inai merah.
Video tular tersebut dimuatnaik semula di beberapa akaun Instagram selepas hantaran dibuat Neelofa di InstaStory (IG Story)nya, kira-kira jam 12 tengahari tadi.
Neelofa pada mulanya memberitahu kepada pengikut di IG bahawa dia kini sedang dalam penggambaran sebuah program terbaharu bersama pelawak Nabil Ahmad.
Katanya, dia tidak pernah berkongsi mengenai perkara tersebut dan penggambaran kini sudah memasuki episod ketiga.
Namun inai yang dipakai pada bahagian ruas jari pertama itu kelihatan jelas ketika Neelofa mengangkat produk minuman kesihatannya untuk tujuan promosi.
Menguatkan lagi spekulasi hari bahagia Neelofa semakin dekat ialah cara inai dipakai pada jarinya. Kerana kebiasaannya inai yang dipakai pada ruas jari dikenakan oleh bakal raja sehari.
Lagipula sebelum ini Neelofa hanya mengenakan inai pada bahagian kuku, tidak sepenuhnya pada ruas jari.
Tambahan lagi, malam tadi salah seorang rakan Neelofa, Shameela Seddek memuat naik beberapa hantaran video dan foto berpakaian merah sedondon.
Jika dilihat dengan teliti, foto dan video tersebut dirakam di dalam bilik Neelofa dan ia boleh dibuktikan dengan sepotong doa yang tertulis pada cermin seperti yang pernah dikongsikan oleh selebriti popular itu sebelum ini.
Terdahulu, sebuah entri video menerusi akaun Instagram @lofa.page memaparkan PU Riz di sebuah kedai sambil membelek sampin songket tular. Bagaimanapun, video berkenaan dipadam selepas beberapa jam dimuat naik, kelmarin.
Bagaimanapun sehingga kini kedua-dua pasangan, baik Neelofa mahupun PU Riz masih mengunci mulut mengenai desas-desus mereka bakal bernikah pada malam ini atau esok.
Ada juga laporan yang mengatakan pasangan tersebut bakal bernikah pada Sabtu pagi sebelum majlis resepsi dijalankan pada sebelah malam hari yang sama.
Khabarnya lokasi majlis juga bukan di St. Regis Hotel seperti yang tular sebaliknya pasangan ini memilih sebuah hotel lain yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.