GAYA HIDUP

Open Bonet Tapi Classy! Usahawan Ini Ubah Nasib B40, OKU & Graduan Menganggur

Gempak 15/07/2025 | 16:09 MYT
Apa yang bermula daripada botol minuman coklat kini berkembang menjadi empayar keusahawanan yang melibatkan lebih 95,000 individu di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Di bawah jenama Choco Albab, pengasasnya Said Saiful Fazli Said Aluwi membuktikan bahawa dengan visi yang jelas dan hati yang ikhlas, satu jenama tempatan boleh memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat.

Ditubuhkan pada April 2021 di bawah syarikat Saudagaar Asia Sdn Bhd, Choco Albab bukan sahaja menawarkan produk coklat, tetapi juga membuka ruang keusahawanan kepada golongan B40, M40, suri rumah, OKU, graduan menganggur dan Gen Z.

“Lebih tuntas kami mahu membantu terutama golongan B40 serta M40, suri rumah, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk memulakan perniagaan kecil.

“Insya-Allah dengan usaha ini, dapatlah membantu golongan itu untuk menjana pendapatan tambahan. Semua ini dalam usaha untuk terus merancakkan ekonomi negara," kata Said



Sempena acara tahunan Rising Star 2025 yang berlangsung pada 5 Julai lalu di Bangi Avenue Convention Centre, jenama ini memperkenalkan pelbagai agenda baharu termasuk hala tuju yang lebih sistematik untuk membantu komuniti ejen dan pelanggan.

Salah satu inisiatif utama yang menarik perhatian ramai ialah Choco Albab Joy Station, yang mengangkat konsep Open Bonet sebagai platform jualan bergerak rasmi.

“Konsep Open Bonet ini asalnya dimulakan secara inisiatif oleh ejen sendiri dan kini mendapat pengiktirafan serta sokongan daripada ibu pejabat.

“Melihat lebih 2,000 ejen menggerakkan inisiatif ini secara berdikari, kami tampil memperkenalkan pendekatan yang lebih profesional," katanya.

Choco Albab Joy Station kini dilengkapi dengan SOP, struktur harga dan menu standard bagi memastikan pengalaman pelanggan lebih konsisten dan terjamin.

“Kami akui pada masa kini, konsep itu sudah popular dan menjadi ikutan. Lalu, ini membuatkan kami di HQ begitu teruja membantu mereka dalam menambah baik usaha sedia ada.

“Kami dengar suara komuniti kami. Inilah masanya untuk membawa gerakan ini ke peringkat seterusnya sebagai alternatif kerjaya dalam ekonomi gig negara," tambahnya.

Lebih daripada sekadar berniaga, Said melihat platform ini sebagai satu cara untuk memulihkan semangat dan kewangan masyarakat pasca pandemik.

“Inisiatif ini juga menyokong aspirasi negara untuk mengurangkan kadar pengangguran selain kadar jenayah kecil, mewujudkan ekonomi berbentuk ‘diamond’, memperkukuh kelompok M40 dan B40.

“Tak ketinggalan memberi peluang kepada golongan wanita dan ibu yang tinggal di rumah untuk menjana pendapatan," ujarnya.




Said juga menyedari keperluan untuk menjadikan jenama ini selari dengan gaya hidup generasi muda. Dengan lebih ramai Gen Z dan milenial memilih gaya kerja fleksibel, Choco Albab tampil sebagai pilihan yang realistik.

“Dengan pendekatan mesra digital, perniagaan ini sangat sesuai untuk generasi muda yang berfikiran usahawan dan berdikari," kata Said lagi.

Namun, kejayaan besar hadir dengan cabaran tersendiri. Antara isu yang dikenal pasti ialah ketidakselarasan rasa dalam minuman yang dijual oleh ejen-ejen berbeza.

“Ada yang mengatakan rasa air coklat dari beberapa usahawan kami jual sedap dan sebaliknya. Malah ada peniaga lain pula jual kurang rasa.

“Jadi kami di HQ mengambil maklum dalam menyelaraskan resepi bancuhan air coklat dengan mengadakan kursus bimbingan secara percuma kepada usahawan," akuinya.

Majlis yang turut disertai lebih 3,000 ejen dari seluruh negara itu turut menyaksikan pelancaran produk baharu — Choco Albab Belgian Mocha.

“Kita mendapat banyak cadangan dari pengguna yang ingin minuman coklat dan kopi. Jadi kali ini kita keluarkan pula dengan campuran kopi premium untuk Belgian Mocha.

“Ia mengandungi 33 peratus koko Belgian premium, diformulasi tanpa gula putih dan menggunakan pemanis rendah kalori (sucralose). Menariknya produk ini juga mesra vegan dan laktosa-intoleran.

“Kami bukan sekadar berniaga, kami bina komuniti. Kami bimbing, dengar dan bantu ejen kami untuk naik sama-sama," ujarnya.



Dengan lebih 95,000 usahawan di bawah jenama ini, Choco Albab bukan lagi sekadar jenama air coklat. Ia kini menjadi simbol harapan baharu buat mereka yang mahu berdikari, berubah, dan berjaya dalam acuan sendiri.
#Gaya Hidup #Usahawan #Choco Albab #Open Bonet