Laman Utama

“Orang Bagi Sardin, Sardinlah Kita Makan, Takkan Minta Ayam Pula” - Menteri Besar Perak Bidas Rungutan Telefon Pintar

gempak
Hanafis Haris
16/06/2021
14:00 MYT
Sponsor Banner
“Orang Bagi Sardin, Sardinlah Kita Makan, Takkan Minta Ayam Pula” - Menteri Besar Perak Bidas Rungutan Telefon Pintar
Telefon pintar yang diberi secara percuma oleh Yayasan YTL kepada pelajar untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjaya membantu ribuan pelajar dalam kalangan B40.

Sehubungan itu, menurut Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, sumbangan tersebut tidak sepatutnya menjadi pertikaian susulan dakwaan mengatakan spesifikasi berkualiti rendah.

"Saya tidak pasti pula apa punca yang menyebabkan ada orang mempertikaikan sumbangan percuma ini. Ini sumbangan percuma oleh Yayasan YTL.

"Kita ini, bila kita susah orang sedekah apapun kita terima, tiadalah hendak meminta-minta, orang bagi ikan sardin jadi ikan sardinlah kita makan, tidaklah minta hendak makan ayam pula.

"Jadi kita hendak memberitahu bahawa telefon pintar itu diberikan secara percuma, kami menerimanya dan sudah mengedarkannya kepada pelajar," katanya.

Menurut Saarani, dia menasihati mereka yang membuat dakwaan itu untuk memandangnya secara positif khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

"Lebih baik ada daripada tiada, kalau tidak ada sumbangan Yayasan YTL ini, bermakna ribuan anak-anak dalam kalangan B40 tidak ada peranti untuk mereka ikuti PdPR.

"Dengan spesifikasi yang ada itu, mencukupi untuk mengikuti PdPR, saya nasihatkan kepada anak-anak di sana 'daripada tiada lebih baik ada', jadi gunakan apa yang ada dan kemudian, ia akan datang kemudahan lain, Insya-Allah," katanya yang turut mengalukan sumbangan syarikat lain.

Sumber : Harian Metro

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live