Hiburan

"Orang Cakap Muka Anak Iras Bekas Suami, Takkan Saya Nak Marah Pula?" - Rita Rudaini

gempak
Kamaruddin Razal
03/10/2019
01:55 MYT
Sponsor Banner
"Orang Cakap Muka Anak Iras Bekas Suami, Takkan Saya Nak Marah Pula?" - Rita Rudaini
Pelakon jelita, Rita Rudaini tidak marah apabila ada segelintir netizen yang menyamakan wajah anak-anaknya dengan bekas suami, pemain bola sepak Aidil Zafuan Abd Razak.
Jelas Rita yang merupakan ibu tunggal kepada Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8, perkara itu merupakan fakta yang memang tidak boleh dinafikan.
"Kadang-kadang ada yang tanya, apakah perasaan saya bila orang cakap wajah anak-anak mirip bekas suami. Perkara itu memang betul, memang ada iras pun. Takkan saya nak marah pula?
"Ada juga netizen yang sering meninggalkan komen seperti itu di laman sosial saya. Kami hanya biarkan sahaja... Memang darah daging dia kan. Anak-anak juga menunjukkan minat terhadap sukan bola sepak," kata Rita.
Tambah Rita, dia juga tidak peduli dengan cakap-cakap yang dilemparkan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab.
"Sebagai selebriti, memang tidak boleh lari dengan perangai netizen seperti ini. Kadang-kadang ada yang meninggalkan komen pedas di laman Instagram, tapi bila disemak semula, akaun mereka tidak bergambar, tiada pengikut dan sebagainya.
"Sah-sah itu hanya akaun palsu yang diwujudkan untuk mengutuk sahaja. Saya tak ambil peduli tetapi jika mereka bersikap keterlaluan atau sudah melampaui batas, saya memang tidak akan diam dan membalas komen mereka. Sebagai selebriti, kami juga ada hati dan perasaan," katanya lagi.
Rita ditemui usai minggu keempat program All Stars Buka Panggung (ASBP) di Royal Theatre, Shah Alam pada Jumaat.
Bertarung dengan tiga pelakon lain iaitu Datuk Fizz Fairuz, Ruhainies dan Johan Asari, Rita berjaya meraih gelaran juara mingguan ASBP.
Rita bakal berentap bersama pemenang episod-episod lain pada pusingan separuh akhir di minggu keenam nanti.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
Rita memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon veteran tanah air yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ramli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Limra.
Merupakan ahli Persatuan karyawan Malaysia, kini Pak Limra berada di Pusat Jagaan Mahmudah Warga-Warga Tua di Semenyih, Selangor.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theater, Shah Alam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live