“Orang Ini Tuduh Saya Ada Arak Dalam Peti Ais Di Rumah” - Tuntut Permohonan Maaf, Amylea Bakal Saman Fitnah
Mya Amri
27/06/2023 10:00 MYT
27/06/2023 10:00 MYT
Penyanyi Amylea Azizan bakal menggenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dia memilik minuman keras di rumahnya.
Amylea mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya hari ini.
Menurut Amylea, individu itu telah membuat fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan memburukkan namanya.
“Saya sedang berfikir untuk saman fitnah, saya akan memberikan sedikit masa kepada diri saya dan orang ini untuk muhasabah diri.
“Satu perkara yang anda patut tahu, anda boleh melukakan saya tetapi bila anda melukakan ibu saya, maka tidak akan bertolak ansur.
“Orang ini menuduh saya ada arak di dalam peti ais rumah saya. MasyaAllah, dia respond kepada satu artikel yang menulis tentang saya yang tidak pernah minum arak walau setitik dalam hidup saya,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Amylea menuntut individu tersebut membuat permohonan maaf kepada ibunya.
“Saya minta orang ini untuk memohon maaf kepada ibu saya dan saya bersimpati pada org ini kerana tidak akan berpeluang memohon maaf pada arwah saya.
“Sebelum bercakap anda harus faham apakah yang mereka telah lakukan untuk membesarkan saya dan apa yang ayah dan ibu saya ikhtiarkan selepas itu untuk menjauhkan mereka dari terus bekerja di situ, dan berjaya,” tegasnya.
Terdahulu, individu tersebut mendakwa Amylea memiliki arak di dalam peti ais di rumahnya.
Tidak cukup dengan itu, individu berkenaan juga seolah-olah menghina Amylea dengan mengatakan penyanyi itu membesar di kelab malam dan bar.