Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

"Orang Luar Nampak Saya Gembira, Tapi Hakikatnya Menangis Masa..." - Sharifah Shahirah

Zulaikha Yusof 27/11/2019 | 02:49 MYT
Pelakon dan penyampai radio Sharifah Shahirah mendedahkan dia merupakan seorang ibu yang tegas dalam soal mendidik anak-anak.
Kata Shahira atau lebih mesra disapa Shiera, perwatakannya sangat berbeza jika ingin dibandingan dengan apa yang dilihat di khalayak umum.
"Orang luar nampak saya gembira je selalu, tapi hakikatnya menangis masa nak didik anak-anak. Pernah je naik tangan tapi mereka dah faham dengan saya.
"Saya bukan seorang ibu yang 'sporting' tapi tegas. Saya tak anggap anak-anak macam kawan. Ada benda saya boleh dengar tapi tetap ada had.
"Saya sejenis menjerit macam mak-mak zaman dulu. Jiran rumah saya sampai dah lali dengar jeritan saya.
"Kalau saya dah tak menang tangan memang saya serahkan kepada suami untuk selesaikannya," katanya kepada Gempak.
Shiera ditemui pada majlis ulangtahun ke-12 Suria FM di Tropicana City Office Tower, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambah kakak kepada aktres Sharifah Sakinah ini, dia perlu berkeras dan menegur anak-anak supaya satu hari nanti mampu berdiri atas kaki sendiri.
"Saya pernah jumpa dengan cikgu dan berpesan marahlah anak saya jika perlu. Saya lahir tahun 70-an, berbeza dengan anak-anak era sekarang.
"Ibu saya pernah menasihati supaya tidak membandingan masa dahulu dengan sekarang tapi tetap saya buat.
"Sebab dulu kehidupan saya susah tapi Allah bagi kesenangan apabila saya dewasa. Saya tak nak anak-anak saya terlampau hidup senang, nanti kalau saya dah tak ada macam mana?" katanya lagi.
Shiera berkahwin dengan pelakon Ijoy Azhari pada tahun 2003. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata, Airel, Airra, Audra dan Adeena.
Sebelum itu, Shiera pernah berkahwin dengan vokalis kumpulan Black Dog Bone dari Singapura, Jatt namun berpisah pada tahun 1999 dan mempunyai seorang anak perempuan, Alisya.
Terdahulu, Shiera menjadi bualan orang ramai apabila berkongsi keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anaknya, Airra biarpun ia tidak secemerlang pelajar lain.
BACA: "Anak Kita Tak Berapa, Sikit Lagi Nak Fail BM" - Sempoi Betul Shiera Kongsi Keputusan UPSR Anak Dapat 2A
#pelakon #Penyampai radio #Pelakon #Sharifah Shahirah
;