Orang ramai berkemungkinan boleh memilih untuk memilih jenis vaksin Covid-19 yang mereka kehendaki, tidak lama lagi.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pihaknya sedang meneliti untuk memberikan pilihan itu kepada orang ramai melalui aplikasi MySejahtera.

“Satu kemudahan mungkin akan diberikan kepada orang ramai untuk mereka membuat pilihan kepada vaksin yang akan diterima.

“Kemudahan ini akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera yang akan ditambah baik tidak lama lagi,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, hanya tiga vaksin daripada tiga pengeluar yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Khairy juga memberitahu pihak media bahawa kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memasukkan semula vaksin AstraZeneca dalam senarai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini bermaksud vaksin berkenaan tidak lagi akan diberikan hanya kepada mereka yang bersetuju menerimanya.

Keputusan itu dibuat kerana AstraZeneca telah mendapat kepercayaan dan penerimaan orang ramai.

Sumber: Kosmo!, MalaysiaKini