"Orang Tu Sudah Minta Maaf Guna Ayat Langgar Malam Tadi, Tapi..." - Caprice Kritik Sindiran PU Amin?

ZULHILMI JALIL
Januari 24, 2020 08:58 MYT
Penyanyi rap Caprice menempelak tindakan Pencetus Ummah (PU) Amin yang disifatkan seolah-olah cuba menyindir tindakan rakan industrinya yang juga ahli kumpulan K-Clique, MK berkaitan isu pemakaian barang kemas.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32, berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan semula memandangkan individu tersebut sudah mengemukakan permohonan maaf.
"Seorang lagi PU tak berguna dari Malaysia. Orang tu sudah minta maaf guna ayat Langgar malam tadi tapi kau pergi up balik waktu solat Jumaat.
"Tahniahlah ustaz. Macam ni ke nak tarik anak muda yang tak sempurna macam kamu selepas dia sudah minta maaf?," tulisnya.
Caprice meluahkan hal tersebut menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam entri tersebut, Caprice turut berkongsi paparan status yang dimuat PU Amin di Twitter.
Sebelum ini, MK dikritik selepas mengeluarkan kenyataan yang disifatkan agak keterlaluan apabila mendakwa dirinya memang sengaja 'langgar' hukum demi minatnya yang suka memakai barang kemas.
BACA: “Kita Masing-Masing Ada Buat Dosa” – MK Jelas Isu Pakai Barang Perhiasan Emas
Bagaimanapun, MK kemudian dilaporkan sudah memohon maaf atas selepas menyedari keterlanjuran katanya itu.
Perkara itu turut dimuat naik Caprice dalam satu entri berasingan di Instagram miliknya.
Caprice antara artis yang cukup lantang dalam menyuarakan pandangan dan kritikan mengenai isu semasa yang berlaku dalam industri hiburan.
#Caprice #PU Amin