Pelakon Haneesya Hanee membidas kritikan netizen terhadap video menangis kerana menu masakan sup sirip ikan yu yang dikongsinya baru-baru ini.

Menurut Haneesya, sebagai seorang pencinta haiwan dia berasa tidak sanggup dan terkilan apabila melihat menu tersebut menjadi hidangan manusia.

“Pertama sekali yang viralkan itu orang dan bukan saya, jadi kenapa mereka mahu mempertikaikan kenapa saya menangis?

“Bukan saya yang minta viral pun, saya menangis sebab ikan yu adalah haiwan paling eksotik dan unik serta spesis yang jarang ditemui dalam lautan.

“Tanpa ikan yu sebenarnya ekosistem kita dalam laut akan jadi tidak kena dan mungkin akan memberikan kesan kepada kita.

“Jadi kenapa korang semua nak kena makan haiwan yang macam itu? Saya merupakan seorang pencinta haiwan, saya tak suka perkara itu berlaku sebab itu saya menangis,” jelasnya kepada Gempak.

Haneesya ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH32) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Dalam perkembangan terbaru, Haneesya yang juga merupakan bekas peserta Dewi Remaja ini baru sahaja merangkul anugerah ABPBH32 bagi kategori Artis Wanita Baharu Popular.

Terdahulu, Haneesya menjadi bualan netizen selepas video yang merakamkan dirinya menangis disebuah restoran kerana menu sup sirip ikan yu dihidangkan menjadi tular.