Order Air Tanpa Gula, Dapat Diskaun 20 Sen!
Gempak
19/09/2024 15:55 MYT
19/09/2024 15:55 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik akan melaksanakan kempen Jom Kosong (minuman tanpa gula) di kedai makan, restoran 24 jam dan makanan segera di seluruh negara.
Timbalan Menterinya Senator Fuziah Salleh berkata, menerusi kempen ini, pengurangan harga sebanyak 20 sen diberikan bagi semuanya minuman yang tidak bergula.
"Kempen ini menyasarkan pengurangan penggunaan gula dalam minuman dan makanan, yang mana pengusaha restoran yang menyertai kempen ini akan bersama-sama untuk mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman yang disediakan.
"Kajian terkini oleh KKM menunjukkan rakyat Malaysia mengambil 26 sudu teh gula setiap hari, melebihi tiga kali ganda daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu enam sudu teh sehari.
"Kempen ini bertujuan untuk mendidik pengguna mengenai risiko kesihatan seperti diabetes, yang kini menjejaskan 18.3 peratus populasi dewasa di negara ini," katanya pada sidang media ketika Kempen Jom Kosong, Lebih Jimat Lebih Murah dan Walkabout Program Jualan Rahmah Madani Dun Mahkota Kluang sempena Hari Malaysia.
Fuziah berkata, kempen berkenaan diharap menjadi budaya dan amalan gaya hidup baharu dalam masyarakat negara ini pada masa depan.
Beliau berkata, selain Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) , KPDN akan turut bekerjasama dengan persatuan lain iaitu Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors' General Association (MSCSPGA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), dan Bumiputra Retailers Organisation (BRO) untuk menjayakan inisiatif itu.
"Kempen ini akan dijalankan dari fasa ke fasa dan buat permulaan ini KPDN menjangkakan lebih 14,000 gerai makan dan restoran 24 jam akan menyertai kempen inidi seluruh negara," katanya.
Mulai 1 Oktober 2024, KPDN memaklumkan produk makanan dan minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan berlebihan akan dikeluarkan daripada senarai barangan yang diberi diskaun di bawah Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) seperti susu pekat manis.
Senarai barangan yang terbabit akan diperhalusi untuk pertimbangan pihak penganjur PJRM kelak.
Sumber: Harian Metro