Produk The Other Self diumumkan sebagai pemenang pada minggu pertama program INNOVATHON yang disiarkan Sabtu lalu.

Menerusi pembentangan, The Other Self mempersembahkan jaket pelbagai fungsi yang dilengkapi dengan keperluan untuk solat bagi kegunaan para pekerja penghantar makanan. Ia juga dilengkapi dengan ciri ciri keselamatan, lengkap dengan keperluan untuk solat selain mempunyai sejadah, kain pelikat dan seluar hujan.

Individu di sebalik The Other Self ialah Mohd Ehfan Ibrahim, 36, Pensyarah Kolej Komuniti Temerloh, lulusan Sarjana dalam jurusan Teknologi Reka Bentuk di UiTM Shah Alam dan Aziq Fadzly Amir, 20, pelajar Kolej Komuniti Termerloh.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.

Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.

Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.

Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta ringgit.

Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.