Laman Utama
Overdose Dadah, Rapper DMX Kritikal Terkena Serangan Jantung
Rapper terkenal Hollywood, DMX kini dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena serangan jantung di kediamannya, semalam.
Media antarabangsa melaporkan, saat ini DMX yang berusia 50 tahun menggunakan alat bantuan pernafasan dan berada di bilik ICU selepas dikejarkan ke hospital di kawasan White Plains, New York.
Portal TMZ pula secara eksklusif melaporkan sumbernya memberithau DMX didakwa terkena serangan jantung selepas overdose dadah yang diambil sekitar Jumaat lalu.
"Paramedik sudah berusaha untuk membuat yang terbaik, namun dia kekurangan oksigen. Doktor mengatakan kekurangan oksigen telah memberi impak terhadap otaknya," lapor TMZ yang mengutip sumber dari keluarga rapper tersebut.
Laporan sama juga menambah, para doktor bimbang tidak dapat menyelamatkan nyawa DMX atau nama sebenarnya Earl Simmons kerana keadaan yang agak kritikal.
Terdahulu, DMX yang memang bertarung dengan masalah ketagihan dadah sempat menjalani rawatan beberapa kali termasuk yang terakhir pada tahun 2019.
Selepas beransur pulih, rapper ini dilihat kembali aktif dan kali terakhir dilihat membuat persembahan pada Julai 2020 dalam sebuah acara yang turut disertai oleh Snoop Dogg.
Kredit Foto: TMZ