Ozlynn Wati Tak Pernah Benarkan Bibik Masak Di Rumah
Ahmad Shah
12/10/2016 03:28 MYT
12/10/2016 03:28 MYT
Meskipun sibuk dengan aktiviti seni, pelakon Ozlynn Wati tidak pernah membenarkan pembantu rumah memasak untuk keluarganya.
Ozlynn memberitahu sudah menjadi tanggungjawab seorang isteri dan ibu untuk memasak dengan air tangannya sendiri.
“Saya memang tidak benarkan bibik di rumah memasak atau sentuh apa jua bahan masakan. Pembantu rumah kami hanya melakukan kerja-kerja mengemas dan sebagainya.
“Namun jika saya terpaksa suruh bibik memotong buah atau memasak nasi, saya akan minta dia memakai sarung tangan dan biasanya dia sudah tahu kerana dari awal dilatih untuk buat begitu.
“Saya perlu pentingkan kebersihan kerana saya menjaga perut suami dan anak-anak saya,” katanya kepada Suudu.
Ozlynn yang memasak untuk keluarganya hampir setiap hari turut berkongsi foto masakannya menerusi laman sosial Instagram.
Foto-foto tersebut menarik perhatian netizen yang kagum dengan Ozlynn kerana tidak mengabaikan tugas sebagai seorang isteri dan ibu.
Tambah isteri kepada pelawak Johan Raja Lawak itu lagi, dia tidak pernah ada alasan untuk tidak memasak.
“Sesibuk manapun. setiap hari saya akan masak. Kalau saya ada penggambaran jam 8 pagi, saya akan bangun awal dan selepas subuh terus masuk dapur memasak siapkan semuanya.
“Lauk semua saya akan siapkan sebelum saya keluar bekerja. Bila tenghari bibik akan masak nasi menggunakan sarung tangan untuk anak-anak yang balik sekolah.
“Saya lebih suka anak-anak makan makanan berkhasiat di rumah berbanding makan di luar yang kadang-kadang terlalu banyak bahan perasa MSG,” ujarnya.