HIBURAN

P Diddy Bersalah Kes Pelacuran, Terlepas Pertuduhan Pemerdagangan Seks

Gempak 03/07/2025 | 03:30 MYT
Mogul muzik hip hop, Sean Diddy Combs atau lebih dikenali sebagai ‘P Diddy’ didapati bersalah atas dua kesalahan berkaitan pelacuran.

Bagaimanapun, Combs, 55, dibebaskan dari tiga pertuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu dan konspirasi jenayah terancang.

Perbicaraan kes jenayah berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh minggu di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, Combs mengaku tidak bersalah di atas kelima-lima pertuduhan berkenaan.

Keputusan yang diumumkan pada Rabu sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat penyanyi dan komposer terkenal itu apabila beliau terlepas hukuman dari tiga pertuduhan utama.

Tiga pertuduhan utama membawa kepada hukuman lebih berat seperti konspirasi jenayah terancang (penjara seumur hidup) manakala pemerdagangan seks terhadap bekas teman wanita, Cassie Ventura beserta individu yang dirahsiakan identiti, masing-masing penjara minimum 15 tahun atau seumur hidup.

Ia bermaksud Combs hanya berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi setiap dua pertuduhan iaitu mengangkut Ventura dan ‘Jane’ (nama umum digunakan demi kerahsiaan identiti di AS) untuk tujuan pelacuran.

Hakim, Arun Subramanian menjatuhkan hukuman terhadap Combs pada tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Sebaik hakim menamatkan prosiding dan peguam kedua-dua pihak beredar, Combs dilihat berlutut di hadapan kerusinya seperti sedang berdoa.

“Saya akan pulang tidak lama lagi, saya sayang kamu semua. Terima kasih,” katanya ringkas sambil tersenyum.

Selepas keputusan dibacakan, Peguambela, Marc Agnifilo memohon Subramanian untuk membenarkan Combs bebas dengan ikat jamin, namun pihak pendakwaan menolak.

"Ini sabitan pertamanya dan ia kesalahan pelacuran, jadi dia mesti dibebaskan dengan syarat yang sesuai," ujar Agnifilo.

Subramanian kemudiannya meminta peguam bagi kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujah bertulis mengenai keperluan sama ada beliau perlu membenarkan Combs bebas sebelum jam 1 tengah hari, Rabu atau sebaliknya.

Pada 16 September tahun lalu, pelantun lagu I’ll Be Missing You itu ditangkap berhubung dakwaan melakukan aktiviti pemerdagangan seks dan kegiatan haram bagi mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik entiti yang sah.

Apabila skandal tersebut menggemparkan industri muzik AS, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada Combs malah turut 'mengheret' beberapa nama selebriti berprofil tinggi kerana pernah menyertai parti anjurannya yang berunsurkan seksual iaitu ‘Freak-Off’.

Pihak berkuasa AS melakukan siasatan terperinci terhadap Combs pada Mac lalu termasuk serbuan ke atas hartanahnya di Los Angeles dan Miami sambil disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen.

Kes mulai panas apabila beberapa wanita termasuk Ventura menuduh Combs melakukan penderaan fizikal, emosi dan seksual ke atasnya sejak bertahun-tahun.

Penangkapan Combs merupakan rentetan beberapa siri dakwaan dan tindakan undang-undang yang mulai timbul pada akhir 2023, terutamanya daripada Ventura. - Agensi
#Viral #Hollywood #Mahkamah #Pelacuran #P Diddy #Pemerdagangan Seks